Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Kajang: Empat lelaki berpakaian seperti pengawal keselamatan merompak kedai emas di sebuah pusat beli belah di sini, hari ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang, Supritendan Mohamad Nasir Drahman berkata kejadian dipercayai berlaku jam 3.17 petang.

"Kesemua suspek memakai topeng dan bersarung tangan gelap masuk ke premis di tingkat satu dan terus memecahkan cermin pameran emas menggunakan tukul besi dan mengambil barang kemas.

"Semasa kejadian suspek dipercayai membawa dua pucuk pistol dan selaras senapang serta melepaskan satu das tembakan ke arah dinding premis," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, kesemua suspek kemudiannya melarikan diri melalui tempat letak kenderaan di bawah pusat beli-belah berkenaan.

KEADAAN kedai emas jam selepas dirompak empat lelaki bertopeng di sebuah pusat beli belah di Kajang.
KEADAAN kedai emas jam selepas dirompak empat lelaki bertopeng di sebuah pusat beli belah di Kajang.

Katanya, jumlah keseluruhan kerugian masih dalam siasatan dan pihak polis sedang meneliti pita rakaman kamera litar tertutup (CCTV) serta merakam keterangan saksi bagi membantu siasatan.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 3 Akta Senjata Api 1971 (Penalti Lebih Berat) yang mana jika disabitkan kesalahan boleh dihukum mati walaupun tidak membabitkan kecederaan atau kematian.

"Mereka yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian boleh berhubung dengan mana-mana balai berdekatan atau berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat kes iaitu Asisten Superintendan Mohd Afiq Farhan Mohd Nor di talian 012-2446768," katanya.

Terdahulu media sosial digemparkan dengan penularan beberapa klip video memaparkan kejadian rompakan bersenjata itu petang tadi.

Video itu memaparkan sekumpulan perompak bertopen memecah kotak pameran kaca menggunakan tukul besi dan mengambil barangan kemas.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Jun 2024 @ 10:18 PM