ANTARA khemah yang disediakan penganjur.
ANTARA khemah yang disediakan penganjur.
Nurul Husna Mahmud


Perkhemahan antara konsep percutian yang membabitkan aktiviti bermalam di kawasan terbuka seperti di hutan atau pusat rekreasi.

Berbeza dengan pengalaman Miqdad Shamsuddin dan keluarganya yang pertama kali berkhemah di tengah bandar raya Kuala Lumpur menerusi Program Denai Malam@Muzium Negara.

Kata Miqdad, dia dan isteri, Ashikin Jamludin yang sebelum ini tidak pernah membawa anak mereka berkhemah mengakui teruja dengan pengalaman 'bermalam' di luar buat pertama kali.

"Percutian kami sekeluarga selalunya di hotel atau resort kerana bimbang faktor keselamatan anak selain tidak tahu sejauh mana ketahanan diri mereka.

"Tambahan pula, memikirkan aktiviti perkhemahan ini memerlukan pelbagai persiapan, kami lebih selesa menempah hotel dengan semua fasiliti tersedia ketika menginap.

"Tetapi, sebaik ternampak Program Denai Malam anjuran pihak Muzium Negara di Facebook, saya terus hantar penyertaan kerana penganjur menyediakan keperluan lengkap seperti khemah, lampu, kipas dan permaidani untuk keselesaan peserta," katanya.

Tambahnya, anak-anaknya bukan sahaja teruja dapat bermalam di khemah, malah turut gembira menyertai pelbagai aktiviti dianjurkan seperti membuat hiasan kepala, bunga rampai, mengenakan inai dan sebagainya.

Bagi Pengarah Muzium Negara, Zamrul Amri Zakaria, Denai Malam@Muzium Negara dirancang kurang dari 10 hari dengan kerjasama 27 kakitangan bagi merealisasikan konsep terbaharu pengisian aktiviti bermalam yang dijalankan sejak 2005.

MENIKMATI masa kualiti keluarga dengan menyertai program Denai Malam@Muzium Negara.
MENIKMATI masa kualiti keluarga dengan menyertai program Denai Malam@Muzium Negara.

"Konsep perkhemahan di muzium ini atau lebih mudah dipanggil 'glamping heritage' sempena sambutan Hari Malaysia antara idea untuk merakyatkan aktiviti muzium. Kami mahu muzium dilihat sebagai destinasi 'mesra' untuk kunjungan orang ramai yang terdiri pelbagai bangsa dan agama.

"Malah idea perkhemahan ini tercetus hasil permintaan ibu bapa yang anak-anak mereka pernah menyertai pengalaman bermalam di muzium sebelum ini.

"Selepas terhenti seketika akibat pandemik Covid-19, kami mahu permulaan yang segar dengan acara berkhemah di muzium bagi memberi pengalaman pengunjung suasana malam di sini," katanya.

Tambah Zamrul, aktiviti yang diadakan selama dua hari satu malam itu menyaksikan 26 khemah didirikan sendiri 60 peserta yang mahu merasai suasana di Muzium Negara.

"Setiap peserta bukan hanya bermalam, tetapi juga berpeluang mengikuti lawatan berpandu ke muzium yang berada di Kompleks Muzium Negara seperti Muzium Negara, Muzium Seni Kraf Orang Asli dan Muzium Etnologi Dunia Melayu.

"Dalam merasai suasana unggas dan suasana malam muzium, peserta juga boleh menyertai aktiviti disediakan di setiap muzium yang ada contoh di Muzium Seni Kraf Orang Asli, mereka belajar membuat hiasan kepala etnik.

PERSEMBAHAN dikir barat membabitkan tok dalang cilik.
PERSEMBAHAN dikir barat membabitkan tok dalang cilik.

"Manakala di Muzium Etnologi Dunia Melayu, mereka belajar pembuatan bunga rampai iaitu wangian dihasilkan dari daun dan bunga setiap kali kerja kahwin dalam kalangan masyarakat Melayu," katanya.

Acara kemuncak malam itu adalah persembahan wayang kulit oleh Tok Dalang Cilik Aqfierudzar Rizq Sulhie yang berjaya menarik perhatian pengunjung.

Melihat sambutan sangat menggalakkan, Zamrul percaya acara lebih besar boleh diadakan di lokasi muzium serata negara termasuk di negeri-negeri kerana ia boleh memberi impak kepada industri permuziuman terutama mempelbagaikan fungsi dan peranan muzium itu sendiri.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 September 2022 @ 6:07 AM