Pemain Romania meraikan kemenangan 3-0 terhadap Ukraine pada perlawanan kumpulan E Euro 2024. - Reuters
Pemain Romania meraikan kemenangan 3-0 terhadap Ukraine pada perlawanan kumpulan E Euro 2024. - Reuters

AFP

Munich: Pengendali Ukraine Serhiy Rebrov menyatakan bahawa kekalahan 3-0 kepada Romania pada aksi pertama di Euro 2024 sebagai sesuatu yang tidak dijangka oleh sesiapa.

Dua kesilapan daripada penjaga gol, Andriy Lunin jelas mengundang padah apabila Romania mendahului menerusi kapten, Nicolae Stanciu dan Razvan Marin sebelum Denis Dragus melengkapkan kemenangan pada separuh masa kedua.

"Malangnya tiada siapa yang menjangkakan keputusan ini," kata Rebrov yang membawa Ukraine ke Kejuaraan Eropah keempat berturut-turut.

"Pemain merasakan mereka tidak melakukan tugas dengan cukup baik. Sebelum perlawanan saya memberitahu mereka bahawa kami mewakili sebuah negara besar yang kuat berjuang selama lebih dua tahun untuk kebebasan kami.

"Hari ini kami tidak melakukan yang terbaik, sebab itu mereka (pemain) meminta maaf (kepada penyokong). Kami perlu menunjukkan Ukraine yang berbeza untuk perlawanan menentang Slovakia."

Rebrov berkata pasukan itu sudah mengadakan pertemuan dengan pemain sahaja selepas perlawanan dan dia meninggalkan bilik persalinan.

"Kami semua beremosi. Semua orang tidak berpuas hati. Jika kami tidak menunjukkan prestasi maksimum. Maka ia akan menjadi sangat sukar.

"Tidak kira siapa yang menjadi pilihan, bola sepak adalah mengenai apa yang anda tunjukkan pada hari ini. Hari ini kami tidak menunjukkan tahap terbaik."

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Jun 2024 @ 1:27 AM