Edward Iordanescu. - Reuters
Edward Iordanescu. - Reuters
Reuters

Munich: Pengendali Romania Edward Iordanescu mengakui bahawa kejayaan membenam Ukraine 3-0 pada perlawanan pembukaan kumpulan E Euro 2024 adalah satu perkara yang menakjubkan.

Beliau berkata, seluruh rakyat Romania harus meraikan kejayaan itu dan segala penat lelahnya terbayar apabila berjaya menamatkan badi 24 tahun dengan meraih kemenangan pertama di pentas Euro 2024.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada setiap rakyat Romania di seluruh dunia. Saya tahu mereka bersama kami hari ini. Ia merupakan usaha yang fantastik oleh pasukan saya.

"Jika mempunyai sebarang keraguan, saya rasa anda boleh percaya kepada saya sekarang bahawa ini adalah pasukan yang hebat. Tahniah kepada semua pemain. Ia benar-benar luar biasa.

""Sejak saya menyertai pasukan kebangsaan ini, sudah pastinya banyak cabaran perlu diharungi. Tidak selalu mudah.

"Pasukan ini memberikan komitmen tinggi dalam setiap perkara. Tiada siapa yang berjiwa besar seperti pasukan ini," kata Iordanescu.

Romania mencipta sensasi apabila memenangi perlawanan buat kali pertama di pentas Euro 2024 dalam tempoh 24 tahun selepas menewaskan Ukraine 3-0 hasil daripada dua kesilapan daripada penjaga gol Andriy Lunin.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Jun 2024 @ 1:06 AM