Pemandangan dari atas Menara Kayangan.
Pemandangan dari atas Menara Kayangan.
Hafiz Ithnin


Terletak di dalam lingkungan Hutan Simpan Sepagaya di Lahad Datu, Sabah lokasi ini sememangnya terkenal dengan pelbagai aktiviti luar cukup menarik.

Pastinya bagi mereka yang bertandang ke lokasi ini yang terletak di hanya kira-kira 11 hingga 13 kilometer (km) dari Bandar Lahad Datu bakal terpukau dengan panorama kaca mata sang burung.

Lokasi ini dinamakan sebagai Menara Kayangan bukanlah sesuatu yang asing bagi masyarakat setempat kerana ia antara destinasi beriadah yang cukup memukau.

Penulis yang kali pertama bertandang ke sana bersama deligasi media menerusi program anjuran Tourism Malaysia Sabah baru-baru ini cukup terpukau dengan keindahannya.

Menara Kayangan berada di ketinggian kira-kira 880 meter dari aras laut membolehkan pengunjung menikmati pemandangan gugusan pulau di Teluk Darvel.

Terdapat ruang yang membolehkan pengunjung mengambil gambar pemandangan tanpa halangan jaring.
Terdapat ruang yang membolehkan pengunjung mengambil gambar pemandangan tanpa halangan jaring.

Sebelum mendaki sehingga ke 'puncak' Menara Kayangan itu, sudah disediakan lokasi untuk mengambil gambar panorama menghadap Teluk Darvel yang mempunyai beberapa gugusan pulau cukup menarik pandangan mata.

Antara pulau yang boleh dilihat jelas dari lokasi bergambar itu ialah Pulau Serangga, Pulau Saga, Pulau Lela, Pulau Tabun, Pulau Kalung-kalung.

Pada hemat penulis dengan bayaran RM3 untuk kanak-kanak dan RM5 dewasa bagi rakyat Malaysia sememangnya sesuatu yang berbaloi untuk menerokai kawasan itu.

Diberi kesempatan untuk menaiki Menara Kayangan yang terletak di dalam hutan simpan kelas itu yang mempunyai 170 anak tangga sehingga ke pelantar kedua iaitu pelantar paling tertinggi semestinya menguji kemampuan stamina.

Ketika menaiki Menara Kayangan, penulis melihat pihak berkuasa begitu mementingkan faktor keselamatan pengunjung kerana di sekeliling anak tangga sehingga ke pelantar kedua, ditutupi dengan jaring besi sepenuhnya.

Ia bagi memastikan keselamatan pengunjung terutama kanak-kanak yang turut boleh menaiki menara itu terjamin demi menikmati keindahan panorama dari pelantar di Menara Kayangan.

Laluan menaiki Menara Kayangan yang menguji keberanian.
Laluan menaiki Menara Kayangan yang menguji keberanian.

Ketika penulis mengunjungi lokasi itu, Pegawai Perhutanan Daerah Lahad Datu, Osman Bangkong turut serta dan berkongsi pelbagai maklumat mengenai destinasi itu.

Osman berkata, Menara Kayangan adalah satu produk pelancongan dalam segmen alam semula jadi di Lahad Datu di bawah kelolaan Jabatan Perhutanan.

Katanya, secara purata dianggarkan lokasi itu dikunjungi 50 orang sehari pada hari bukan cuti sekolah dan jumlah itu lebih tinggi jika pada hujung minggu atau cuti sekolah.

"Menara ini dibina pada 2011 dan dilancarkan secara rasmi pada 2012 untuk menjadikan lokasi ini sebagai salah satu destinasi beriadah dan pelancongan di Lahad Datu.

"Menara Kayangan dibina menggunakan khidmat seratus peratus anak tempatan dan kita sentiasa meninjau tahap keselamatannya dari masa ke masa supaya tidak berlaku kemalangan dalam kalangan pengunjung," katanya.

Bercerita lanjut, Osman berkata, Menara Kayangan terletak di Gunung Silam juga menjadi tarikan kepada pengunjung untuk aktiviti berjoging, mendaki, berkhemah dan menikmati laluan denai.

"Pada cuti sekolah lokasi ini sememangnya mendapat perhatian terutama murid-murid untuk berkhemah.

"Di kawasan ini juga lengkap dengan kemudahan seperti bilik air, restoran dan juga beberapa unit inap desa yang boleh disewa pengunjung," katanya.

Katanya, bayaran dikenakan untuk pengunjung yang ingin bermalam atau aktiviti menerokai laluan denai tetap sama hanya terdapat bayaran khas untuk menyewa tapak perkhemahan.

"Di sini sumber air juga tidak menjadi masalah kepada pengunjung. Cuma mereka perlu mengikuti peraturan yang ditetapkan memandangkan lokasi ini adalah hutan simpan kelas satu.

"Bagi mereka yang ingin mendaki atau menikmati laluan denai, kita juga sudah membina separuh jalan konkrit dan meletakkan papan tanda arah ke puncak Gunung Silam," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 January 2023 @ 7:01 AM