ALIRAN trafik perlahan di beberapa di lebuh raya utama malam ini. FOTO XPlustrafik
ALIRAN trafik perlahan di beberapa di lebuh raya utama malam ini. FOTO XPlustrafik
BERNAMA

Kuala Lumpur: Aliran trafik di beberapa lebuh raya utama negara dilaporkan perlahan menuju ke Lembah Klang susulan pergerakan pulang orang ramai selepas sambutan Aidiladha.

Jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) memaklumkan jumlah kenderaan sedikit meningkat berbanding hari biasa di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) dan Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) namun setakat 9.20 malam ini, trafik masih terkawal.

Beliau berkata di utara tanah air, aliran trafik dilaporkan perlahan di Jawi ke Sungai Bakap, Gurun ke Sungai Petani, Terowong Menora ke Ipoh, Tapah ke Sungkai dan Tanjung Malim ke Rawang.

"Aliran trafik turut dilaporkan perlahan di Alor Gajah menuju ke Seremban disebabkan pertambahan kenderaan," katanya ketika dihubungi Bernama.

Di Pantai Timur pula, terdapat pertambahan kenderaan di Plaza Tol Bentong ke Lentang yang menyebabkan aliran trafik perlahan di kawasan terbabit.

Beliau berkata setakat ini, aliran trafik di Lebuhraya Pantai Timur (LPT) 1 dan LPT 2 dilaporkan lancar di kedua-dua arah.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol PLUSLine 1-800-88-0000 dan laman X @plustrafik atau talian LLM 1-800-88-7752 serta laman X @llmtrafik.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Jun 2024 @ 10:01 PM