PEMANDANGAN sungai di awal pagi.
PEMANDANGAN sungai di awal pagi.
Nurul Husna Mahmud

Adatarikan tersendiri di Sungai Perak!

Fakta lain turut dikaitkan ialah kampung yang berada berhampiran dengan kawasan sungai berkenaan iaitu Kampung Raja Intan Suraya. Ia dinamakan sempena dengan nama puteri raja Perak ketika itu, Raja Intan Suraya. Sebagai rujukan, kampung itu terletak di pekan Sungai Siput.

Berbanding kawasan lain di sepanjang Sungai Perak, kampung itu mempunyai dataran tebing yang lebih landai selain terdapat lokasi sesuai untuk mandi manda.

Terkini di Kampung Intan Suraya dibangunkan satu pusat rekreasi sejak tahun 2000 bagi tujuan latihan kumpulan korporat dan agensi kerajaan.

Namun disebabkan terkesan dengan situasi pandemik Covid-19 di mana tiada aktiviti dalam kumpulan besar dibenarkan, pusat rekreasi yang dinamakan Kem Intan Suraya itu mula menawarkan peluang bermalam kepada mereka mahu pengalaman berkhemah di tebing Sungai Perak.

Menurut Pengurus Kem Intan Suraya, Nur Atirah Mohd Nori, sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 1.0) tahun lalu pihaknya terpaksa mencari alternatif dalam membantu meneruskan kelangsungan pusat rekreasi berkenaan.

"Sejak PKP 1.0 pada Mac tahun lalu, kami yang sebelum ini banyak menumpukan program korporat atau kursus agensi kerajaan terpaksa beralih kepada kumpulan perseorangan atau peminat sukan lasak.

"Pendek kata kami menerima kedatangan pengunjung yang mahu rasai pengalaman bermalam di tebing Sungai Perak sambil menikmati kehijauan sekitarnya.

SESUAI untuk mereka yang datang bersama keluarga
SESUAI untuk mereka yang datang bersama keluarga

"Pengunjung yang tidak biasa aktiviti berkhemah di hutan boleh berjinak-jinak dengan aktiviti itu di sini kerana suasananya lebih selesa selain kemudahan seperti bilik air dan tempat memasak juga disediakan bagi yang datang dalam kumpulan ramai," katanya.

Sejak Jun 2020, kebanyakan pengunjung terdiri daripada kelompok pengunjung berkeluarga atau mereka yang hadir bersama teman untuk bekhemah di kem terbabit.

"Biasanya ada yang datang dengan peralatan masing-masing iaitu bawa khemah dan peralatan memasak sendiri. Tetapi baru-baru ini kami ada perkenalkan satu set 'glamping' yang boleh disewa.

"Suasana sekitar juga luas dan selesa untuk pengunjung beriadah bersama keluarga. Ada ketika kami dirikan wayang pacak bagi mengisi aktiviti pada sebelah malam," katanya.

TURUT sesuai untuk aktiviti mandi-manda.
TURUT sesuai untuk aktiviti mandi-manda.

Pilihan bagi pengunjung yang bermalam di sini, mereka boleh memilih untuk berkhemah atau menginap di Chalet yang berkonsepkan 'dorm.'

Lebih menarik, pengunjung juga boleh memasang 'hammock' di kawasan yang sesuai di sekitar pusat itu bagi menikmati bayu atau alunan aliran air sungai terutama sebelah malam.

Keunikan lain di Sungai Perak yang tersenarai sebagai sungai kedua terpanjang di Semenanjung Malaysia itu semestinya pelbagai kegiatan rekreasi air boleh dilakukan.

Nurul Atirah berkata, selain aktiviti memancing kerana terdapat 'port' atau lubuk bagi peminat ikan air tawar seperti lampan, lawang dan baung, sungai ini turut selesa untuk aktiviti mandi-manda.

"Ada kawasan yang tidak terlalu dalam iaitu paras pinggang ke peha dan bagi mereka yang tidak pernah merasai pengalaman mandi sungai seperti ini, perlu cuba kerana suhu berlainan sekali dengan sungai di jeram air terjun.

NOSTALGIA apabila wayang pacak turut disediakan untuk mengisi itenari malam.
NOSTALGIA apabila wayang pacak turut disediakan untuk mengisi itenari malam.

"Saya pernah terima satu kumpulan terdiri daripada pelancong tempatan berbangsa Cina yang pada mulanya takut untuk mandi kerana melihat warna airnya seperti berlumpur dan risau dengan bau.

"Namun apabila kami bawa mereka untuk cuba 'berendam' dan mandi di sungai, mereka mula berasa seronok," katanya.

Tambahnya lagi percutian di situ lebih berkonsepkan bebas dan santai. Jadi, pengunjung bebas menyewa tapak untuk bermalam atau memilih aktiviti bagi mengisi waktu terluang di situ.

"Kalau pengunjung mahu pengalaman berbeza, mungkin boleh cuba aktiviti 'river floating' iaitu hanyut dari satu titik perhentian sehingga ke kawasan kem.

PEMANDANGAN senja.
PEMANDANGAN senja.

"Bagi aktiviti ini kami sarankan kepada mereka yang hadir lebih dari lapan orang kerana ada pengemudi dan jurulatih yang sedia membantu.

Selain aktiviti itu, peminat sukan lasak turut boleh mencuba aktiviti lain seperti berkayak dan berakit. Terdapat dua 'mode' iaitu santai membabitkan jarak dan tempoh perjalanan lebih pendek. Manakala bagi yang mahu sertai aktiviti lebih ekstrim, biasanya akan membuat ekspedisi sehingga ke Teluk Intan atau Bandar Kuala Kangsar yang memakan perjalanan lebih sehari.

Tidak hanya aktiviti air, terdapat juga aktiviti rentas hutan atau berjalan malam di kawasan hutan berhampiran. Jika bernasib baik, pengunjung yang menyusuri laluan itu berpeluang melihat pemandangan Empangan Hidroelektrik Pertama di Malaysia iaitu Empangan Chendroh.

Tarikan terbaru atas inisiatif Kerajaan Negeri Perak ialah mewujudkan laluan berbasikal sejauh 25 kilometer bermula dari Jambatan Victoria di Karai sehinggalah ke kem itu yang menjadi kawasan hentian rehat bagi kumpulan berbasikal.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Jun 2021 @ 7:00 AM