MENDIRIKAN khemah menggunakan fiber atau sumber semula jadi.
MENDIRIKAN khemah menggunakan fiber atau sumber semula jadi.
Nurul Husna Mahmud


PERCUTIAN di belantara biasanya menjadi pilihan peminat aktiviti perkhemahan yang mahukan suasana tenang dan mendamaikan.

Bagi membolehkan golongan ini dapat menikmati suasana bermalam dalam hutan, terdapat pelbagai kaedah atau pilihan menjadikan pengalaman percutian itu sesuatu yang unik.

Konsep perkhemahan itu sendiri tidak semestinya perlu ada perkakas atau peralatan lengkap. Memadai dengan memiliki parang, pisau dan keperluan penting seperti peralatan menghidupkan api yang pastinya memberikan pengalaman berbeza.

Menyebut mengenai 'trend' perkhemahan sebegini ia dikenali sebagai konsep perkhemahan primitif yang menjadi 'kegilaan' pencinta belantara mahupun pengamal rekreasi ikhtiar hidup.

Malah pada hujung minggu baru-baru ini, penulis bersama jurufoto News Straits Time Press (NSTP), Aswadi Alias berpeluang merasai suasana perkhemahan ala primitif di Kem Banjaran Sungai Sendayu, Batu 12, Gombak Selangor bersama Jurulatih Rekreasi Luar Kebangsaan, Mohd Sam Hashim.

Biarpun kerap menyertai atau bermalam dalam belantara, namun perkhemahan ala primitif adalah sesuatu yang baharu buat penulis.

IKATAN rangka perlu kukuh bagi menampung daun bumbung selain melindungi individu yang berkhemah.
IKATAN rangka perlu kukuh bagi menampung daun bumbung selain melindungi individu yang berkhemah.

Sebelum memulakan aktiviti itu, Mohd Sam yang lebih mesra dengan panggilan Sam turut memberi taklimat ringkas termasuk pengenalan mengenai aktiviti perkhemahan primitif.

Kata Mohd Sam yang juga antara perintis yang terawal berkecimpung dalam disiplin

bushcraft survival iaitu istilah popular digunakan komuniti ikhtiar hidup dari Australia dan New Zealand, melihat aktiviti lebih dekat kepada individu yang gemar kepada cabaran serta cintakan alam sekitar.

"Perkhemahan primitif semakin mendapat permintaan dalam kalangan penggiat sukan lasak terutama mereka yang terdedah dengan aktiviti merentas hutan, pendakian gunung dan merentas air.

"Konsep primitif itu sendiri menjurus kepada gaya percutian dalam belantara dengan keperluan paling asas dan menggunakan sumber sedia ada dalam alam sekitar.

"Ia semakin mendapat perhatian apabila banyak pencipta kandungan terutama di Youtube dalam lima tahun kebelakangan ini cuba mempopularkan konsep gaya hidup primitif.

"Begitu juga dengan peminat aktiviti lasak, mereka mula beralih untuk bermalam dengan membina khemah dan menikmati sumber semula jadi untuk kelangsungan sepanjang berada dalam hutan,"katanya.

Tidak lupa menekankan aspek persiapan perlu dilakukan, kata Mohd Sam, penting membawa keperluan asas terutama parang dan pisau selain kit ikhtiar hidup lengkap.

CONTOH pilihan daun sesuai untuk dijadikan bumbung dan lantai khemah primitif.
CONTOH pilihan daun sesuai untuk dijadikan bumbung dan lantai khemah primitif.

"Sebelum masuk hutan, kena ada persiapan juga meskipun mahu melakukan aktiviti perkhemahan secara primitif. Antaranya perkakas seperti pisau, parang, alat untuk menghidupkan api, ubat-ubatan, tali, lampu kepala dan bekalan makanan mencukupi.

"Sebaiknya aktiviti itu perlu dilakukan lebih dua orang dengan sekurang-kurangnya seorang ada kemahiran dalam ikhtiar hidup belantara. Lagi ramai lagi baik," katanya.

Bagi lokasi pilihan untuk dirikan port khemah, Mohd Sam menekankan terdapat peraturan penting perlu dipatuhi individu sebelum memilih lokasi bermalam.

"Memang kebanyakan orang mendirikan khemah berhampiran dengan sungai kerana mudah bagi mereka untuk dapatkan sumber air.

"Tip dirikan khemah adalah penting untuk pastikan lokasi selamat dari laluan binatang, pokok dan dahan mati, tanah runtuh serta laluan air.

"Amalkan 3P iaitu merujuk kepada pandang atas, pandang bawah dan pandang keliling bagi pemeriksaan kawasan berkhemah. Jarak dengan sungai lebih baik kedudukannya 30 meter dari sungai," katanya.

Katanya, bagi individu yang baru berjinak-jinak, sewajarnya lakukan aktiviti terbabit di hutan atau kem

dengan akses keluar lebih mudah bagi mengurangkan sebarang risiko.

MOHD Sam turut melakukan demo bermalam dalam belantara dengan selamat.
MOHD Sam turut melakukan demo bermalam dalam belantara dengan selamat.

"Suasana tapak perkhemahan di Kem Banjaran Sungai Sendayu ini juga antara port popular bagi mereka yang berminat melakukan aktiviti perkhemahan dan ikhtiar hidup. Lokasi tersorok selain sumber asas seperti sungai dan pokok bagi membina khemah sementara juga masih banyak.

"Pilih kayu yang sesuai untuk rangka. Sementara bagi bumbung dan lantai boleh guna daun salak, bertam, pisang dan daun pokok hutan. Ia disusun berlapis-lapis bagi memastikan ianya kalis air," katanya.

Untuk memastikan kawasan perkhemahan berkenaan selamat daripada gangguan terutama binatang buas, unggun api adalah satu keperluan penting.

"Tiada skil yang lebih penting selain menghidupkan unggun api jika berkhemah dalam hutan. Kebaikannya ialah dapat menghindari gangguan haiwan, memanaskan badan dan memasak. Ini adalah kemahiran paling asas.

"Terkini terdapat pelbagai alat dan kaedah dalam menyalakan api. Cara primitif popular adalah bow and drill friction

menggunakan geseran untuk hasilkan api. Kaedah ini menggunakan kayu lembut, batu atau bahan lain sesuai sebagai soket dan tali atau kulit," katanya.

ANTARA keperluan penting ikhtiar hidup dalam belantara.
ANTARA keperluan penting ikhtiar hidup dalam belantara.

Beliau turut menyarankan supaya menyediakan juga pemetik api moden seperti pemetik api magnesium antara perkakas mudah dan tahan lasak kerana menggunakan batang logam digesek pada rod magnesium bagi menghasilkan percikan sebelum dikenakan pada bahan mudah terbakar seperti habuk kayu atau kapas.

Mohd Sam turut berkongsi kebaikan melakukan aktiviti ini bersama keluarga sebagai pilihan aktiviti ketika musim cuti sekolah.

"Pendedahan aktiviti ikhtiar hidup perlu dimanfaatkan kepada semua seawal usia kanak-kanak kerana ia mengajar ilmu penting berkait dengan aktiviti luar.

"Selain menjadi salah satu konsep percutian dapat merapatkan ikatan kekeluargaan dan berinteraksi dengan alam semula jadi, ia juga bekalan andai ada insiden seperti tersesat atau terkandas dalam hutan boleh dimanfaatkan," katanya.

Turut dikongsi Mohd Sam bersama penulis adalah cara tidur ketika dalam khemah primitif. Menggunakan kayu diasah tajam pada sisi badan yang menghala ke arah ruang terbuka adalah langkah terbaik untuk persiapan bagi mengelak serangan haiwan buas.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Jun 2022 @ 7:00 AM