PEMAIN dan jurulatih teqball, Muhammad Farihan Md Said (tengah) bersama Siti Asnidah (kiri) dan Eva menunjukkan bola teqball khas dari luar negara.
PEMAIN dan jurulatih teqball, Muhammad Farihan Md Said (tengah) bersama Siti Asnidah (kiri) dan Eva menunjukkan bola teqball khas dari luar negara.
Nurul Husna Mahmud

FAKTA mengenai teqball ialah disiplin sukan baharu menggabungkan dua jenis sukan berbeza iaitu bola sepak dan ping pong.

Lebih unik lagi sejarah penceritaan sukan berkenaan turut membabitkan tiga sekawan yang mempunyai latar belakang berbeza iaitu G·bor Bors·nyi yang dulunya bekas pemain profesional selain ahli perniagaan G·bor Bors·nyi dan saintis komputer, Viktor Husz·r.

Apabila G·bor yang gemar bermain bola sepak atas meja ping pong mengatakan meja yang mendatar sukar dikembalikan servisnya, rakannya, Viktor kemudian memulakan rekaan meja melengkung.

Selesai rekaan meja dan format permainan, legenda bola sepak dari Brazil, Ronaldinho yang dilantik menjadi duta mula memperkenalkan sukan berkenaan kepada dunia sehingga ia dilihat satu fenomena baharu dalam sukan bola sepak.

Walaupun baharu sahaja diperkenalkan pada 2018 oleh Persatuan Teqball Malaysia, sukan itu sudah ada kelibat pemain wanita berkaliber.

Antara yang menonjol ketika ini ialah Emilia Eva Natasha Saudia, 25, dan Siti Asnidah Zamri, 22, yang mempunyai potensi besar dalam sukan berkenaan termasuk antara pemain yang dijangka menyertai kejohanan peringkat Asia Tenggara penghujung Mac nanti.

Berlahiran Kota Marudu, Sabah, Emilia Eva atau lebih mesra disapa Eva pernah sampai ke Perancis bagi menyertai kem latihan teqball secara intensif selama tiga bulan di sana.

AKSI menarik Eva ketika bermain teqball.
AKSI menarik Eva ketika bermain teqball.

Kata Eva, kesempatan berada di sana dimanfaatkan sepenuhnya untuk menguasai format permainan yang begitu asing dengannya.

"Meskipun cara bermain teqball ini hampir sama dengan sepak takraw yang memerlukan pemainnya menimbang dan 'servis' bola kepada pihak lawan, teqball ada peraturan sendiri.

"Saya yang juga bekas pemain sepak takraw kebangsaan pada mulanya sukar menyesuaikan diri dengan peraturan sukan itu yang agak rumit.

"Tetapi, lama-kelamaan sudah faham dan setiap hari ada sesi latihan serta bertanding sesama peserta, baru dapat menguasai teknik dan peraturan pemainan," katanya.

Kata Eva lagi, permainan teqball terdapat dua kategori iaitu 'single' merujuk permainan secara solo dan 'double' pula untuk disiplin berpasangan.

"Peraturan dalam permainan ini berbeza untuk kategori individu dan berpasangan. Antara peraturan mudah difahami umum ialah hantaran dan terima servis bola tidak boleh menggunakan bahagian kaki sama.

"Contohnya jika bola disambut menggunakan kaki kiri dan kemudian hendak servis semula tidak boleh guna kaki yang sama," katanya.

Menyentuh berkenaan, sesi latihan berlangsung di Perancis, kata Eva, permainan teqball ini menguji kemahirannya dalam menyesuaikan kekuatan membuat hantaran bola dan ketepatan memastikan dapat bermain dengan baik.

"Lagi satu yang sukar ialah kawalan bola disebabkan bola teqball sangat mudah melantun berbanding bola takraw. Selain itu, ketika bermain perlu ada kontak dengan meja memastikan bola dalam kawasan permainan," katanya yang turut memaklumkan hanya dua peserta wanita menyertai program latihan berkenaan.

EVA (dua dari kiri) ketika sesi latihan di Perancis.
EVA (dua dari kiri) ketika sesi latihan di Perancis.

Bagi penuntut Jurusan Pengurusan Sukan Universiti Malaya, Kuala Lumpur, Siti Asnidah, dia mengakui permainan teqball ini mempunyai sudut 'ekstrem' tersendiri.

"Selaku pemain futsal dan bola sepak, saya tahu kedua-dua disiplin itu tidak fokus mengenai imbangan bola, tetapi berlainan dengan teqball.

"Kawalan bola disokong dengan teknik imbang bola kerana pemain perlu tahu bahagian tubuh mana dapat digunakan dalam menyambut, mematah servis atau hantaran servis yang dapat mencipta mata.

"Maklumlah dalam peraturan teqball cukup ketat dalam penggunaan bahagian badan berulang untuk membuat hantaran bola," katanya yang mesra disapa Belly dalam kalangan pemain teqball di Malaysia.

Berkongsi pengalaman menarik, gadis manis itu nmengakui kejohanan pada 2019 yang berlangsung di Bukit Jalil, Kuala Lumpur adalah percubaan pertamanya.

"Masa mula-mula sertai kejohanan teqball pada 2019, saya masuk dan cuba, 'feel' cukup berbeza. Lucunya corak permainan saya ketika itu berterabur kerana masih baharu.

"Namun penganjur tidak fokus terhadap peraturan sebaliknya mereka mahu kami mengenali teqball selain mencari bakat boleh digilap daripada pertandingan terbabit," katanya yang memaklumkan ketika perlawanan berlangsung, hanya ada dua penyertaan wanita.

Sementara itu, Timbalan Presiden Teqball Malaysia, Ainon Mohamed Salehuddin berkata, pihaknya sentiasa mengalu-alukan kehadiran bakat baru terutama dalam kalangan wanita kerana jumlah pemain bagi golongan itu masih kecil.

"Setakat ini tiada lagi kejohanan spesifik bagi kategori wanita kerana sukan ini masih baharu iaitu diperkenalkan pada 2018. Jumlah penyertaan wanita sangat kecil.

AKTIVITI pembangunan sukan teqball dari peringkat akar umbi.
AKTIVITI pembangunan sukan teqball dari peringkat akar umbi.

"Ketika ini format permainan atau pertandingan yang ada hanya campuran. Jadi, memang berharap tahun akan datang lebih ramai pemain wanita berkaliber dapat bermain untuk pasukan Teqball Malaysia.

"Cabaran bagi persatuan pula ialah banyak perancangan bagi perkembangan dan promosi sukan ini tertangguh pada tahun lalu disebabkan Covid-19," katanya.

Pada peringkat persatuan, kata Norainon, pihaknya mahu dapatkan kembali rentak terutama memperkenalkan sukan ini kepada umum.

"Banyak program dirancang termasuk membawa masuk sukan ini di sekolah yang berminat. Malah penganjuran pertandingan peringkat negeri juga penting selain terus berusaha terus menggilap pemain berkaliber untuk diturunkan ke luar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Mac 2021 @ 7:00 AM