PENYOKONG Colombia ditahan kerana cuba memasuki stadium tanpa tiket pada aksi final Copa America, semalam. FOTO AFP
PENYOKONG Colombia ditahan kerana cuba memasuki stadium tanpa tiket pada aksi final Copa America, semalam. FOTO AFP
Reuters

New York: Polis Miami-Dade County di Florida akan menilai semula protokol keselamatan bagi Piala Dunia 2026 selepas puluhan penyokong ditahan susulan kekecohan menjelang final Copa America, semalam.

Menurut penganjur, penyokong tidak memiliki tiket merempuh kawalan keselamatan dan cuba menyusup masuk ke Stadium Hard Rock Stadium, menyebabkan kekecohan di stadium bakal menyajikan aksi Piaa Dunia itu.

Polis menyekat akses masuk dan ribuan penyokong terperangkap di bawah cuaca panas pada ketika Konfederasi Bolasepak Amerika Selatan (CONMEBOL) berulang kali menangguhkan perlawanan antara Argentina dan Colombia.

Akhirnya, sepak mula final itu diadakan selepas 82 minit.

"Malam tadi, pasukan penguat kuasa undang-undang kami bertindak cemerlang menangani situasi mencabar dan berbahaya yang boleh mengancam nyawa semua yang hadir," kata Ketua Keselamatan Awam Miami-Dade County, James Reyes dalam satu kenyataan.

"Kami bekerjasama dengan penganjur acara untuk menilai sedalam-dalamnya semua aspek dan protokol keselamatan, ketika kami membuat persediaan bagi Piala Dunia 2026."

Seramai 27 penyokong ditahan manakala 55 lagi tidak dibenarkan memasuki stadium.

Lebih 800 penguat kuasa undang-undang bertugas di stadium itu iaitu gelanggang rasmi pasukan NFL, Miami Dolphins dan kerap digunakan dalam acara sukan membabitkan ramai penyokong termasuk Super Bowl, empat tahun lalu.

Sumber memberitahu Reuters, pelan keselamatan di final Copa America lebih longgar berbanding final Kejohanan NFL 2020, apabila penyokong tidak dibenarkan menghampiri pintu masuk stadium jika gagal menunjukkan kad kebenaran di kawalan keselamatan.

Dalam satu kenyataan awal, pihak Stadium Hard Rock memaklumkan lebih separuh penyokong hadir berbanding kapasiti biasa dan stadium itu mampu memuatkan 65,000 orang.

"Kami sedar ada pemilik tiket kecewa tidak dapat masuk ke stadium kerana kami menutup laluan dan kami akan bekerjasama dengan CONMEBOL untuk mengambil maklum mengenai individu berkenaan," katanya.

"Sudah tentu, tiada yang lebih penting berbanding keselamatan dan kesihatan semua tetamu serta staf."

Venue berkenaan akan menganjurkan tujuh perlawanan Piala Dunia termasuk penentuan tempat ketiga dan keempat.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Julai 2024 @ 9:08 AM