BOLA sepak berjalan tidak memerlukan skil tertentu dan dalam pergerakan sederhana.
BOLA sepak berjalan tidak memerlukan skil tertentu dan dalam pergerakan sederhana.
Nor Faizah Mohamed

[email protected].

Bola sepak adalah salah satu permainan paling popular di dunia dan berjaya menarik minat pelbagai peringkat usia.

Ia fleksibel dan rentak permainan yang mudah difahami, namun bola sepak juga memerlukan tahap kecergasan tinggi dalam kalangan pemain.

Ketangkasan fizikal yang memerlukan pemain bergerak pantas mengejar bola bagaimanapun memberi kekangan kepada warga emas dan mereka yang mengalami kecederaan.

Di sinilah hadirnya bola sepak berjalan yang diwujudkan sebagai alternatif kepada mereka yang ingin menyertai sukan kegemaran dunia ini dalam ritma sederhana.

Tanpa mengira usia tua mahupun jantina, setiap peserta dapat memperoleh faedah kesihatan daripada sukan ini tanpa membebankan diri terutama bagi mereka yang mengalami masalah kesihatan.

Meskipun bola sepak berjalan ini sudah lama bertapak di United Kingdom dan makin popular di Singapura, ia kurang dikenali di Malaysia.

Jelas pelatih selebriti dari Singapura merangkap pakar fisiologi, Dee Dee Mahmood yang turut menjalankan kajian mengenai bola sepak berjalan ini bersama Universiti Edith Cowan Australia, sukan menarik ini adalah sebahagian daripada projek penyelidikan yang berusaha meneroka impak latihan terhadap golongan obes dan pesakit kanser.

BOLA sepak berjalan membolehkan warga emas terbabit aktif dalam sukan tanpa membebankan diri.
BOLA sepak berjalan membolehkan warga emas terbabit aktif dalam sukan tanpa membebankan diri.

“Disebabkan bola sepak berjalan memerlukan sentuhan tubuh yang minimum dengan risiko kecederaan yang lebih rendah, ia pilihan sesuai untuk individu yang mengalami masalah kesihatan.

“Peserta lazimnya terdiri daripada golongan obes, pesakit diabetes, hipertensi dan kanser yang berusia antara 30 hingga 70 tahun.

“Bola sepak berjalan sama seperti bermain bola sepak biasa, cuma ia pada kadar yang lebih perlahan.

“Ia sebagai salah satu inisiatif untuk menggalakkan lebih ramai individu terbabit aktif dalam acara berbentuk fizikal. Apa yang penting, ia mudah dan menyeronokkan,” katanya.

Bagi memperlihatkan bagaimana bola sepak berjalan diadakan, pasukan Eunos CSS dari Singapura hadir memeriahkan Hari Bola Sepak akar Umbi AFC 2018 (AFC Grassroots Football Day 2018) di Wisma FAM, Kelana Jaya, baru-baru ini.

DEE Dee (kiri, berdiri) memberi penerangan mengenai bola sepak berjalan kepada pasukan Legenda Malaysia.
DEE Dee (kiri, berdiri) memberi penerangan mengenai bola sepak berjalan kepada pasukan Legenda Malaysia.

Pasukan Eunos CSS terdiri daripada Masazhari Yayit, Hanafe Abdul Ghani, Mohamed Junaidi Songab, Mohamed Rafee Abdul Rahman, Ismail Abdul Jamal, Rohaizat Abdul Rasik, Masykur Abdul Malek, Hamdi Bakri, Muhammad Shahrom Asmani dan Ben Danial Salle beraksi dalam perlawanan persabahatan selama 30 minit dengan pasukan Legenda Malaysia.

Skuad Legenda Malaysia pula terdiri daripada Datuk Soh Chin Aun, Datuk Santokh Singh, Datuk Yap, Datuk Windsor, Datuk Hamidin, Kevin Ramalingam, Dez Corkhill, Stanley Bernard, B. Sathianathan dan Simon Lim.

Sementara itu, kajian mengenai bola sepak berjalan ini turut dibentangkan Dee Dee di American College of Sports Medicine pada Februari lalu di Oregon, Amerika Syarikat.

Kajian mengenai kelebihannya masih diteruskan dan jelajah bola sepak berjalan Malaysia yang bakal berlangsung di beberapa negeri antaranya Negeri Sembilan serta Melaka pada bulan depan turut menjadi sebahagian daripada kajian itu.

KELAB Eunos CSC Singapura bersama pasukan Legenda Malaysia.
KELAB Eunos CSC Singapura bersama pasukan Legenda Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Julai 2018 @ 3:01 PM