PENTING usaha membentuk identiti Malaysia dilakukan di SJKC, walaupun mungkin memerlukan masa yang lebih panjang untuk direalisasikan, namun tidak mustahil. - Gambar hiasan. FOTO Arkib NSTP
PENTING usaha membentuk identiti Malaysia dilakukan di SJKC, walaupun mungkin memerlukan masa yang lebih panjang untuk direalisasikan, namun tidak mustahil. - Gambar hiasan. FOTO Arkib NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Melihat penguasaan bahasa ketiga semakin penting, khususnya di alam pekerjaan, Amira Firzanah Ahmad Zamri menongkah arus dengan menghantar anak bongsunya ke sebuah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) berhampiran rumahnya di Gombak, Selangor.

Akauntan di sebuah syarikat swasta itu percaya penguasaan bahasa Mandarin sebagai bahasa ketiga selepas bahasa Melayu dan Inggeris, akan memberi kelebihan kepada anak lelakinya itu kelak.

"Ini juga cara saya menggalakkan anak meluaskan pergaulan dengan kaum lain. Malah, saya juga berpeluang mengenali dan saling berkongsi pandangan dengan ibu bapa berketurunan Tionghua menerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah," kata wanita berusia 39 tahun itu kepada Bernama.

Dia bagaimanapun tidak menolak kemudahan yang ada di SJKC itu seperti penyaman udara di dalam bilik darjah, kelas tidak padat serta kedudukan sekolah tidak jauh dari rumah turut menyumbang kepada keputusannya menghantar anak ke sekolah vernakular tersebut empat tahun lalu.

"Hanya dia seorang sahaja belajar di SJKC, anak sulung dan kedua saya bersekolah di sekolah kebangsaan," kata wanita itu menambah pandangan rakan-rakan turut mempengaruhinya semasa membuat keputusan untuk menghantar anaknya ke SJKC.

Langkah yang diambil oleh Amira Firzanah itu bukan sesuatu yang luar biasa, kerana sejak beberapa dekad yang lalu bilangan murid bukan Cina belajar di SJKC menunjukkan peningkatan ketara.

Berdasarkan data Persatuan Jawatankuasa Sekolah Cina dan Persatuan Guru Sekolah Cina Malaysia (Dong Jiao Zong), daripada hanya 17,309 orang atau 3.05 peratus pada 1989, jumlah murid bukan Cina meningkat beransur-ansur kepada 52,043 (8.66 peratus) pada 1998 dan melonjak kepada 72,443 orang atau 11.84 peratus pada 2010.

Pada 2020, dilaporkan terdapat 101,011 orang atau 19.75 peratus murid bukan Cina di hampir 1,300 SJKC seluruh negara, merangkumi kaum Melayu, India, Orang Asli serta warga asing dan terkini dilaporkan kelompok itu mewakili 20 peratus daripada keseluruhan murid.

Isu ini menimbulkan pelbagai reaksi dengan ada yang menyuarakan kebimbangan tentang nasib Sekolah Kebangsaan (SK) dan juga martabat bahasa kebangsaan memandangkan sekolah vernakular itu menggunakan bahasa Mandarin sebagai bahasa pengantar.

Tidak bersetuju dengan pandangan itu, pensyarah di Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Dr Anuar Ahmad berkata situasi tersebut berpotensi mengukuhkan wajah dan identiti Malaysia sebagai sebuah negara majmuk.

Malah, katanya, tidak mustahil murid bukan Cina akan mewakili 50 peratus daripada keseluruhan pelajar SJKC jika trend itu berterusan pada masa akan datang.

"Selepas merdeka, sekolah rendah Cina dan Tamil telahpun menggunakan kurikulum kebangsaan dan sistem pentaksiran kebangsaan. Guru-guru juga daripada pelbagai kaum dan dilantik oleh institusi pendidikan guru kebangsaan," katanya, menambah kebanyakan SJKC turut menyediakan fasiliti mesra orang Islam.

Beliau juga percaya perpaduan kaum dapat dipupuk dengan lebih baik menerusi pergaulan ibu bapa pelbagai bangsa dalam PIBG di SJKC, selain sesama murid itu sendiri yang terdiri daripada pelbagai kaum.

Pada masa sama, beliau bersetuju penting usaha membentuk identiti Malaysia dilakukan di SJKC, walaupun mungkin memerlukan masa yang lebih panjang untuk direalisasikan, namun tidak mustahil.

Bagaimanapun, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika berucap di sebuah majlis di Pasir Mas, Kelantan pada 6 Julai, berkata perpaduan hanya dapat dibentuk menerusi sistem pendidikan kebangsaan.

Justeru kata Ahmad Zahid, sistem itu harus menjadi teras di semua sekolah tanpa mengira aliran, baik kebangsaan, vernakular ataupun sistem persekolahan berteraskan pendidikan Islam.

Sementara itu, mengakui terdapat banyak kelebihan di SJKC, terutama dari segi fasiliti yang lebih baik berbanding di SK, selain penguasaan bahasa Mandarin, Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Guru Dalam Perkhidmatan Pelajaran Malaysia Mohd Azizee Hasan berkata SK perlu diperkasa.

"Antara isu kelemahan SK yang sering menjadi polemik adalah penguasaan dalam Matematik, Sains, dan bahasa Inggeris dengan tanggapan bahawa guru-guru SJKC lebih mahir dalam mengajar subjek-subjek itu," katanya.

Tidak menolak tanggapan itu, beliau berkata faktor kekurangan guru di SK membuatkan berlaku kes 'tangkap muat' iaitu guru ditugaskan mengajar di luar kepakarannya.

"SK di bandar tidak sama di luar bandar, begitu juga SK di pedalaman. Faktor bilangan murid, sosioekonomi ibu bapa, fasiliti sekolah, pengurusan, kualiti guru turut menyumbang kepada pencapaian akademik.

"Situasi ini perlu dibaiki dengan memastikan guru-guru berkemahiran mengajar subjek-subjek tersebut," katanya, menambah kebanyakan guru di SJKC mempunyai pengkhususan subjek masing-masing.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Julai 2024 @ 7:02 AM