BERJAYA merealisasikan impian beraksi dengan pasukan luar negara.
BERJAYA merealisasikan impian beraksi dengan pasukan luar negara.
Muhamaad Razis Ismail


MENGGALAS tanggungjawab sebagai penjaga gol dalam sesebuah pasukan bola sepak bukan mudah kerana ia menuntut komitmen dan disiplin yang tinggi.

Tugasnya bukan sekadar memastikan gawang tidak dibolosi, malah posisi penjaga gol amat penting untuk menentukan jatuh bangun sesebuah pasukan.

Biarpun tidak dianggap sebagai posisi popular dalam kalangan segelintir peminat bola sepak, namun peranan sebagai penjaga gol tidak boleh dipandang enteng untuk memastikan kemenangan pasukan.

Biarpun menyedari tugas berat yang terpaksa dipikul, Nurul Azurin Mazlan, 23, membuktikan kemampuan dirinya apabila diberi peranan sebagai penjaga benteng terakhir untuk skuad bola sepak wanita negara 'Malayan Tigress.'

Bukan itu, sahaja, kehebatan anak ketiga daripada empat beradik ini mengawal gawang negara menarik perhatian kelab bola sepak wanita India, Misaka United FC untuk beraksi dalam Karnataka Women's League pada penghujung tahun lalu.

Pemilik nombor jersi 23 negara ini berjaya membuka mata ramai pihak bahawa dengan berhijab, dia masih mampu berjaya dalam sukan nombor satu di dunia ini.

Berkongsi cerita, penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) itu berkata, pembabitannya dengan sukan bola sepak bermula seawal usia lapan tahun.

"Menyedari minat dan bakat saya dalam sukan ini, bapa mendaftarkan saya menyertai sebuah akademi bola sepak di Shah Alam, Selangor.

SEBAGAI benteng terakhir Nurul Azurin konsisten pastikan Malayan Tigress, Misaka United FC tidak mudah dibolosi.
SEBAGAI benteng terakhir Nurul Azurin konsisten pastikan Malayan Tigress, Misaka United FC tidak mudah dibolosi.

"Pada mulanya saya banyak bermain bola sepak dengan rakan lelaki kerana tiada rakan perempuan. Hanya pada usia 13 tahun saya mula bermain dengan pasukan wanita.

"Pada usia 15 tahun, saya bermain bola sepak di bawah kendalian jurulatih dari China dan saya sudah nampak bola sepak sebagai karier yang bukan sahaja mewakili negara, malah menanam impian beraksi dengan pasukan di luar negara," katanya.

Menurutnya, sejak kecil, dia didedahkan dengan bola sepak oleh ibu bapanya biarpun ketika itu pembabitan wanita dalam sukan itu masih kurang.

"Saya bersyukur berada dalam persekitaran positif dan banyak menyokong saya, sekali gus membantu membentuk diri saya menjadi pemain bola sepak.

BERAKSI dengan pasukan luar negara beri peluang Nurul Azurin mengembangkan karier dalam bola sepak.
BERAKSI dengan pasukan luar negara beri peluang Nurul Azurin mengembangkan karier dalam bola sepak.

"Pada ketika itu, penerimaan terhadap pembabitan wanita dalam sukan itu masih kurang, namun ia bukan halangan meneruskan impian menjadi pemain bola sepak profesional," katanya.

Katanya, dia memilih menjadi penjaga gol kerana posisi itu mempunyai tanggungjawab besar dalam sesebuah pasukan.

"Biarpun 10 pemain lain beraksi dengan cemerlang dan hanya saya seorang melakukan kesilapan, pasukan akan kalah. Peranan sebagai penjaga gol amat besar dan perlu konsisten memastikan benteng terakhir pasukan tidak dibolosi," katanya.

Sepanjang terbabit dalam sukan bola sepak, banyak pencapaian yang diraih termasuk diumumkan sebagai Pemain Wanita Terbaik Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK) 2015 dan 2018 serta dinobatkan sebagai penjaga gol terbaik di Karnataka Women's League (India) bagi musim 2021-2022.

MEMBANTU pasukan menjulang Piala Tun Sharifah Rodziah pada 2022.
MEMBANTU pasukan menjulang Piala Tun Sharifah Rodziah pada 2022.

Jelasnya, pengalaman pertama kali beraksi untuk pasukan negara di Sukan Sea 2017 banyak memberi pengajaran sangat berguna dan mematangkan dirinya sebagai pemain bola sepak.

"Pada ketika itu, saya akui gementar dan tertekan apabila perlu beraksi di hadapan penyokong sendiri kerana harapan yang diberikan sangat tinggi untuk meraih kejayaan.

"Biarpun mendapat kecaman yang agak teruk kerana tidak dapat mempamerkan aksi yang diharapkan, saya dapat belajar banyak perkara untuk menjadi pemain bola sepak yang lebih baik," katanya.

Baginya pengalaman paling indah sepanjang terbabit dalam bola sepak adalah dapat menjejakkan kaki di Palestin pada 2021 untuk Kelayakan Piala Asia Wanita 2022.

NURUL Azurin melihat penjaga gol memainkan peranan penting kemenangan pasukan.
NURUL Azurin melihat penjaga gol memainkan peranan penting kemenangan pasukan.

"Seperti yang kita ketahui, bukan mudah ke negara yang masih bergolak biarpun ramai yang mengimpikan ke sana. Saya bersyukur melalui bola sepak, saya dapat ke sana dengan membawa semangat dan perasaan yang sukar digambarkan dengan kata-kata," katanya.

Berkongsi pengalaman beraksi dengan pasukan luar negara, Nurul Azurin mengakui ia adalah impian peribadinya sejak kecil untuk berkelana.

"Untuk permulaan, saya berdepan cabaran daripada segi cuaca dan makanan, namun sebagai pemain bola sepak, saya perlu menyesuaikan diri dengan cepat supaya tidak menjejaskan formasi pasukan.

"Saya mahu buktikan bahawa pemain Asia juga mampu beraksi dengan baik apabila diberikan peluang. Pada masa sama, saya harap pemain lain dapat membuka mata untuk cuba berkelana ke luar negara untuk mengembangkan karier di sana," katanya.

GEMAR melakukan aktiviti lasak seperti mendaki gunung.
GEMAR melakukan aktiviti lasak seperti mendaki gunung.

Tambahnya, biarpun sibuk sebagai pemain bola sepak, dia tidak melupakan tanggungjawab sebagai penuntut universiti.

"Biarpun di luar negara saya masih 'hadir' kuliah dan menghantar tugasan seperti rakan lain. Sebenarnya tidak susah bahagikan masa dan perkara paling penting adalah sentiasa berkomunikasi dengan pensyarah," katanya.

Ditanya perancangan masa hadapan, dia menyasarkan ingin kekal bermain dengan pasukan luar negara untuk tempoh enam tahun akan datang.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Mei 2023 @ 6:20 AM