PENIAGA warga asing sanggup membayar sewa lesen perniagaan milik warga tempatan sehingga mencecah RM5,000 sebulan.
PENIAGA warga asing sanggup membayar sewa lesen perniagaan milik warga tempatan sehingga mencecah RM5,000 sebulan.
Muhaamad Hafis Nawawi dan Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Ibarat kebal daripada tindakan undang-undang, warga asing dikesan masih menjalankan perniagaan menggunakan lesen milik warga tempatan hingga mampu memperoleh keuntungan puluhan ribu ringgit setiap bulan.

Ini berikutan warga asing terbabit menganggap ibu kota adalah 'lubuk emas' menyebabkan mereka sanggup menyewa lesen pada harga tinggi semata-mata untuk berniaga.

Malah, sikap warga tempatan yang degil dan berterusan 'menjual' mahupun menyewakan lesen perniagaan mereka kepada warga asing menyebabkan kegiatan itu masih sukar dibendung.

Lebih malang apabila ada anggota pihak berkuasa dikatakan menjadi 'tali barut' selain melindungi aktiviti ini hingga isu lesen Ali Baba masih gagal dibanteras sehingga kini.

Selain itu, ada juga warga asing yang bekerja di restoran atau kedai makan didapati tidak mengambil suntikan tifoid ditambah soal kebersihan premis yang tidak dijaga.

Malah, Harian Metro menerusi muka depan pada 7 Jun lalu secara eksklusif mendedahkan warga asing mendominasi perniagaan di Lembah Klang dengan berselindung di sebalik lesen milik warga tempatan.

Menurut sumber, peniaga warga asing sanggup membayar sewa lesen perniagaan milik warga tempatan sehingga mencecah RM5,000 sebulan.

"Itu antara pelaburan besar dilakukan peniaga ini yang mempunyai sumber kewangan daripada komuniti warga asing atau 'dana gelap' bagi menguasai perniagaan di sesebuah lokasi berpotensi.

"Usaha mereka menjadi mudah apabila dilindungi warga tempatan yang membenarkan nama mereka digunakan dalam lesen, selain mengaku sebagai pemilik kedai jika diserbu pihak berkuasa," katanya.

Malah, wartawan Harian Metro yang melakukan tinjauan semula selepas pendedahan sebelum ini, mendapati peniaga warga asing bagai tidak gentar mengaku perniagaan itu adalah milik mereka walaupun pernah diserbu pihak berkuasa sebelum ini.

Tinjauan dilakukan di beberapa lokasi antaranya Jalan Silang, Jalan Petaling, Jalan Hang Lekir, Bukit Bintang, Jalan Prima Setapak, Jalan Kuantan, Pantai Dalam, Jalan Klang Lama dan Jalan Kuchai Lama mendapati hampir kesemua premis dimonopoli oleh warga asing.

Mereka didapati menjual barangan runcit dari negara asal seperti Bangladesh, Myanmar dan Rohingya.

Kebanyakan yang dijual adalah barangan makanan yang dibeli rakyat senegara, selain ada juga makanan tradisi negara terbabit turut dijual di kawasan kaki lima termasuk sirih sehingga kawasan itu menjadi kotor akibat kesan ludahan.

Peniaga warga asing ini dilihat mula 'menjajah' perniagaan kedai runcit, makanan, kedai gunting rambut dan perniagaan sayur serta buah-buahan sekitar ibu kota.

Apabila ditanya mereka mendakwa hanya sebagai pekerja, namun berdasarkan pemerhatian wartawan mendapati penama lesen tidak pernah hadir ke premis, sebaliknya 'nama' digunakan untuk memohon lesen premis dan penjaja.

Wartawan berpura-pura masuk ke salah satu premis milik warga asing sebagai pelanggan dan dia mengaku menyewa lesen daripada orang tempatan dengan bayaran RM3,000 sebulan.

"Kita tidak takut melabur dengan membayar sewa sebanyak itu kerana sudah tentu keuntungan diperoleh lebih daripada itu.

"Sudah lama kami melakukan seperti ini, asalkan dapat berniaga dan tidak perlu bimbang ditahan kerana lesen milik warga tempatan," ktanya.

Terdahulu, kerajaan sedang meneliti langkah penggubalan Akta Anti Ali Baba dan dalam proses melaksanakan kajian bagi menyediakan kerangka undang-undang berkenaan.

Menteri Ekonomi Rafizi Ramli dilaporkan berkata, penelitian langkah itu termasuk bagi mengenal pasti punca, isu, cabaran dan masalah membabitkan 'Ali Baba' sejak sekian lama, skop atau bidang kuasa yang akan diberikan kepada agensi pelaksana.

Halim Ishak
Halim Ishak

Ekonomi negara hancur jika terus dibiarkan

Kuala Lumpur: Isu lesen perniagaan Ali Baba perlu dibendung segera kerana membawa pelbagai keburukan kepada rakyat dan negara dari segi ekonomi, sosial, undang-undang serta keselamatan.

Pengerusi Yayasan Keprihatinan Komuniti Malaysia (MCCF), Datuk Seri Halim Ishak berkata, tindakan tegas dan bersepadu perlu dilaksanakan untuk mengawal dan menghapuskan kegiatan ini bagi memastikan kepentingan rakyat serta negara terpelihara.

Menurutnya, tindakan rakyat Malaysia menyerahkan lesen perniagaan kepada warga asing, mempunyai banyak kesan negatif yang boleh memberi impak besar kepada rakyat dan negara.

"Dari segi ekonomi akan berlaku aliran keluar modal iaitu keuntungan dari perniagaan yang dikendalikan oleh warga asing mungkin tidak dilaburkan semula dalam ekonomi tempatan, tetapi dialirkan keluar ke negara asal warga asing.

"Ini mengurangkan jumlah modal yang beredar dalam ekonomi Malaysia.

"Pengurangan modal domestik boleh melemahkan ekonomi tempatan, mengurangkan pelaburan dalam pembangunan infrastruktur dan perkhidmatan awam," katanya.

Halim berkata, apabila warga asing mengambil alih perniagaan, peluang pekerjaan untuk rakyat tempatan akan berkurangan menyebabkan ia boleh meningkatkan kadar pengangguran dalam kalangan rakyat Malaysia.

"Pekerja asing mungkin tidak mematuhi undang-undang buruh, menyebabkan peningkatan dalam pekerjaan tidak sah dan menjejaskan hak pekerja tempatan.

"Perniagaan tempatan yang mematuhi undang-undang akan sukar bersaing dengan perniagaan dikendalikan oleh warga asing yang mungkin tidak mematuhi peraturan dan standard," katanya.

Beliau berkata, perniagaan yang dikendalikan oleh warga asing mungkin mengabaikan kualiti dan keselamatan produk, menjejaskan kepercayaan pengguna dan reputasi industri tempatan.

"Kehadiran ramai warga asing yang mengendalikan perniagaan boleh menimbulkan ketegangan antara komuniti tempatan dan warga asing, menyebabkan perpecahan sosial dan ketidakstabilan.

"Kegiatan perniagaan dikendalikan warga asing mungkin tidak selaras dengan budaya tempatan, menimbulkan konflik budaya dan nilai-nilai tempatan yang terhakis," katanya.

Malah katanya, peningkatan populasi warga asing yang tidak didokumentasikan dengan sah boleh membawa kepada peningkatan dalam kegiatan haram seperti penyeludupan, penipuan, dan jenayah.

"Kehadiran warga asing yang besar tanpa kawalan yang betul boleh menyebabkan ketidakstabilan sosial termasuk risiko peningkatan jenayah dan gangguan keselamatan awam.

"Tanpa tindakan tegas, kegiatan lesen Ali Baba akan sukar untuk dikesan dan dihukum menunjukkan kelemahan dalam sistem penguatkuasaan undang-undang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Julai 2024 @ 7:02 AM