KEADAAN  di Simpang Empat Kuari Bukit Buloh yang kerap berlaku kemalangan sehingga mengundang keresahan penduduk setempat. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
KEADAAN di Simpang Empat Kuari Bukit Buloh yang kerap berlaku kemalangan sehingga mengundang keresahan penduduk setempat. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Hazira Ahmad Zaidi

Machang: Risiko kemalangan di Simpang Empat Kuari Bukit Buloh, Jalan Kota Bharu-Kuala Krai dekat Pulai Chondong di sini dapat dikurangkan dengan menaik taraf simpang di laluan berkenaan.

Ketua Jajahan Machang, Mohd Zamri Ibrahim berkata, pihak berkuasa kini dalam proses untuk menaik taraf persimpangan itu selain kerja naik taraf sama dilakukan di laluan D218 Jalan Kuari Bukit Buloh.

Katanya, antara skop kerja dirancang adalah pelebaran Simpang Empat Kuari, menambah baik garisan jalan seperti garisan tengah, garisan tepi dan garisan chevron hatching.

"Selain itu menambah jalur rentas pemecah kelajuan dan pada masa sama, kami juga menambah papan tanda seperti 'Awas Kawasan Kemalangan Kurangkan Laju' dan 'Awas Kawasan Kenderaan Berat Keluar/Masuk Di Hadapan.'

"Penambahbaikan dari segi penghadang jalan, susur jalan (road kerb) dan menambah bilangan lampu jalan di lokasi berkenaan bagi mengelakkan risiko berlakunya kemalangan pada waktu malam," katanya ketika dihubungi.

Beliau mengulas laporan Harian Metro semalam mengenai keluhan penduduk berhubung Simpang Empat Kuari Bukit Buloh, Jalan Kota Bharu-Kuala Krai yang digelar 'simpang maut.'

Mengulas lanjut, Mohd Zamri berkata, pihaknya maklum aduan penduduk dan tidak mengabaikannya namun tindakan yang diambil adalah berperingkat.

Katanya, tindakan awal dilaksana antaranya mengadakan lawatan ke lokasi untuk mengenal pasti masalah dengan turut disertai wakil rakyat kawasan.

Beliau meminta penduduk bersabar dan berharap pengguna jalan raya sentiasa mematuhi peraturan ditetapkan.

"Jika semua patuh peraturan, trafik di persimpangan itu akan lancar, sekali gus dapat mengurangkan risiko kemalangan," katanya.

Sebarang masalah di kawasan anda boleh dikongsi ke e-mel Suara Anda, Kami Dengar di

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Julai 2024 @ 7:03 AM