MEKANIKAL permainan akan dipertingkatkan dengan lebih baik untuk keselesaan pemain.
MEKANIKAL permainan akan dipertingkatkan dengan lebih baik untuk keselesaan pemain.
Muhammad Saufi Hassan


SIRI permainan genre sukan mungkin agak sukar untuk berkembang terutama membabitkan permainan sukan yang kurang diketahui umum seperti simulasi permainan golf, vb bola keranjang dan ragbi.

Namun, tidak dinafikan penggemar atau pemain sukan itu masih wujud bagi segmen permainan video cuma kurang mendapat perhatian dan bukan judul ‘kegilaan’ seperti permainan penembak pertama (FPS).

Sejak permainan video memasuki alaf baru dengan penawaran kualiti grafik yang sangat baik, wujud beberapa judul permainan untuk genre sukan terus menjadi perhatian terutama sukan bola sepak.

Bola sepak adalah genre sukan paling popular. Boleh dikatakan hampir di setiap negara pasti mengetahui sukan berkenaan dan mengenali bintang sukan itu.

Begitu juga dengan segmen permainan untuk sukan bola sepak, judul paling masyhur adalah siri FIFA dan terkini edisi FIFA20 akan dilancarkan dengan memberi beberapa penambahbaikan berbanding FIFA19.

Setakat ini, tiada butiran rasmi berhubung mekanikal permainan berkenaan namun penulis berpandangan bahawa pembangun siri itu, EA akan menambahbaik kualiti kesan grafik supaya lebih realistik.

GENRE permainan sukan seperti bola sepak antara paling popular untuk segmen berkenaan.
GENRE permainan sukan seperti bola sepak antara paling popular untuk segmen berkenaan.

Berdasarkan khabar angin, EA akan mengubah suai sistem mekanikal ketika pemain mengambil sepakan penalti namun bagaimana mekanikal itu berfungsi masih tidak diketahui secara terperinci.

Pertukaran antara pemain kepada pemain lain juga dipertingkatkan supaya pemain dapat merasai keselesaan ketika permainan tanpa mengganggu tumpuan kepada corak permainan.

Berdasarkan pengalaman penulis selama ini, siri FIFA tidak jauh berbeza dan perbezaan mekanikal permainan pula hampir sama cuma mungkin EA akan lebih menampilkan pengawalan profesional untuk memberikan tahap kesukaran kepada pemain.

Setiap siri permainan itu, mekanikal permainan hampir sama cuma yang membezakan adalah kualiti kesan grafik.

FIFA19 adalah bukti apabila EA mempersembahkan satu siri permainan yang berkualiti.

Mod permainan mungkin akan dikekalkan atau ditambah dengan beberapa mod lain.

Mod sedia ada seperti karier bola sepak untuk menjadi pemain atau pengurus pasukan, mod perjalanan pemain dan pertarungan dalam talian sudah pasti menjadi tumpuan.

Kehangatan siri FIFA banyak dipengaruhi bintang yang menghiasi permainan berkenaan dan untuk FIFA20 tidak banyak berbeza apabila peminat sukan itu lebih memberi tumpuan kepada kelab gergasi.

Penulis mengharapkan FIFA20 menampilkan ikon penghias kulit (official cover) yang lebih dominan dan tidak hanya diukur dengan populariti seseorang bintang semata-mata.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Julai 2019 @ 10:55 AM