JOHARI (kanan) ketika melawat mangsa kemalangan, Susan Tan Tai Hoi di RPS Bukit Serok. FOTO Mohd Rafi Mamat
JOHARI (kanan) ketika melawat mangsa kemalangan, Susan Tan Tai Hoi di RPS Bukit Serok. FOTO Mohd Rafi Mamat
Mohd Rafi Mamat

Muadzam Shah: "Sebagai anak sulung dia menjadi harapan untuk membela nasib keluarga namun kemalangan bulan lalu mengubah nasibnya," kata Nor Mamod, 38.

Anaknya Susan Tan Tai Hoi, 17, cedera serius bahagian kepala yang memaksa pembedahan dan memisahkan sementara tempurung kepalanya untuk proses rawatan yang mengambil masa antara enam bulan hingga setahun.

Dalam kejadian pada 28 Jun lalu ambulans Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Pahang yang membawa wanita Orang Asli itu bersama tiga anaknya, Susan, Serena, 15 dan Jeremy, 5, terbabit kemalangan dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di Kilometer 47.3, Lebuhraya Kuala Kumpur-Karak, Bentong.

Nor berkata, dia berharap Susan yang sebelum ini lima hari koma ketika dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan cepat sembuh untuk kembali meneruskan persekolahan bagi menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akhir tahun ini.

Katanya, pada peperiksaan percubaan SPM sebelum ini Susan mendapat keputusan 4A dan 2 B, dia ingin meraih sekurang-kurangnya 5A bagi memberi peluang melanjutkan pengajian ke menara gading dalam bidang pendidikan.

"Kecederaan pada bahagian kepala dan dada menyebabkan dia (Susan) kini dalam keadaan lemah terutama apabila hanya bergantung sepenuhnya susu khas untuk terus hidup, dia tidak mampu bertutur dengan lancar.

"Saya bimbang Susan tidak mampu berfikir dengan waras seterusnya menjejaskan masa depan dalam pendidikan. Gegaran yang kuat pada kepala ketika terhempas diatas jalan punca utama berlaku pendarahan dalam kepala," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menerima kunjungan Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Pahang, Johari Alwi di Rancangan Penempatan Semula (RPS) Bukit Serok, dekat sini kelmarin.

Turut sama Sukarelewan JAKOA Pahang.

Nor menambah, anaknya minum susu khas setiap tiga jam sekali, keadaannya agak lemah kerana tidak boleh makan walaupun keinginan untuk makan ada, namun atas nasihat doktor Susan tidak dibenarkan makan bagi mengelak berlaku masalah pada pernafasannya.

Tambahnya lagi, untuk berjalan Susan perlu dipimpin, dia juga terpaksa menggunakan lampin pakai buang bagi mengelak banyak pergerakan yang mungkin menjejaskan pemulihan kecederaan yang dialami.

"Saya ingin melihat kakak (Susan) kembali aktif seterusnya ke sekolah, kalau boleh mengambil peperiksaan SPM tahun ini seterusnya menjadi guru suatu guru suatu," katanya.

Sementara itu, Johari berkata pihaknya akan membantu meringankan beban Susan yang kini terlantar di rumah.

Katanya, remaja berkenaan memerlukan sokongan dalam menguatkan semula semangatnya yang terjejas selepas kemalangan itu, fikirannya terganggu selepas mengalami kecederaan serius di bahagian kepala.

"Susan tidak boleh dibebani dengan perkara yang menyebabkan dia banyak berfikir, kecederaan pada kepala menjejaskan fizikal dan mentalnya.

"Pegawai JAKOA Muadzam Shah dibantu sukarelawan JAKOA akan terus memantau remaja berkenaan dengan sentiasa melawatnya di rumah sambil memberi kata semangat dan nasihat," katanya yang yakin Susan dapat kembali sembuh dalam dua hingga tiga bulan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Julai 2024 @ 9:16 AM