JESURUN (kiri) dan anak lelakinya ditahan polis susulan kekecohan ketika final Copa America antara Argentina dan Colombia, semalam. FOTO REUTERS
JESURUN (kiri) dan anak lelakinya ditahan polis susulan kekecohan ketika final Copa America antara Argentina dan Colombia, semalam. FOTO REUTERS
AFP

Miami: Presiden Persekutuan Bolasepak Colombia, Ramon Jesurun ditahan di Miami ketika kekecohan di final Copa America, semalam, menurut laporan polis dikeluarkan hari ini.

Laporan polis Miami-Dade County menyatakan Jesurun ditahan kerana dakwaan menyerang pegawai dan majikan menjelang perlawanan di Stadium Hard Rock.

Kekecohan berlaku apabila penyokong merempuh pagar stadium pasukan NFL, Miami Dolphins sehingga berlaku tolak menolak dan ada yang cuba menyeludup masuk ke stadium menerusi saluran pendingin hawa menyebabkan sepak mula ditunda selama 80 minit.

Pada aksi final itu, Argentina menewaskan Colombia 1-0 menerusi jaringan Lautaro Martinez pada minit ke-112.

Jesurun, 71, tidak dibenarkan turun ke padang bersama-sama anak lelaki dan ahli keluarga lain pada majlis penyampaian hadiah selepas perlawanan, lapor akhbar Colombia, El Tiempo.

Anak lelaki Jesurun kemudian bertengkar dengan pengawal keselamatan yang tidak membenarkan mereka masuk.

Jesurun yang juga naib presiden Konfederasi Bolasepak Amerika Selatan (CONMEBOL) turut terbabit dalam pertengkaran itu sebelum pegawai polis masuk campur, lapor akhbar itu.

Dalam satu kenyataan, polis Miami-Dade berkata, 27 orang ditahan manakala 55 dikeluarkan dari stadium ketika perlawanan.

"Saya sangat bangga dengan tindakan pegawai kami susulan situasi ganas dan kerja keras mereka untuk memastikan komuniti selamat, begitu juga dengan petugas undang-undang lain yang memberikan sokongan keselamatan," kata pengarah polis, Stephanie Daniels.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Julai 2024 @ 8:36 AM