Reuters

Madrid: Sambil mengibarkan bendera dan berpakaian warna merah dan kuning Sepanyol, berpuluh-puluh ribu rakyat negara itu menyambut kepulangan pasukan bola sepak lelaki Euro 2024 negara itu dengan penuh gembira ketika perarakan di Madrid, awal pagi tadi.

"Juara, juara!" laung peminat kepada pemain dan jurulatih, yang meraikan kemenangan itu dengan menaiki bas dua tingkat tanpa bumbung, dengan trofi diletakkan di depan dan mesej terpampang "Ini hanya satu permulaan."

Sepanyol mengalahkan England, 2-1 aksi pada final di Berlin, awal pagi semalam.

Pihak berkuasa Sepanyol memuji kejayaan pemain dan corak permainan mereka, manakala sesetengah penyokong berkata, ia menyatukan satu negara dengan sejarah ketegangan wilayah dan polarisasi politik.

"Kami adalah sebuah negara yang hebat. Pada hari seperti hari ini, penting untuk diingati bendera ini mewakili kami semua," kata peminat muda bernama Borja kepada penyiar nasional TVE.

Dia memuji pemain Sepanyol sedang meningkat naik berusia 17 tahun, Lamine Yamal yang bapanya berasal dari Maghribi manakala ibunya dilahirkan di Equatorial Guinea.

"Kami melihat masalah (berterusan) mengenai perkauman. Lamine Yamal akan mentakrifkan satu era kerana rakyat di Sepanyol terdiri daripada pelbagai warna," kata Borja.

Sambil berdiri di atas balkoni dan kaki lima sesak, peminat teruja, ramai daripada mereka adalah kanak-kanak dan sesetengahnya datang dari wilayah jauh di Sepanyol, melambai ke arah pemain yang memakai kemeja-T putih bertulis "Raja Eropah" diiringi oleh nombor empat besar untuk menandakan gelaran benua keempat bagi Sepanyol.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih atas usaha dan cara anda bermain, dengan kegembiraan anda lakukannya," kata Raja Sepanyol Felipe VI kepada pasukan itu dalam satu majlis di istananya dengan diiringi Ratu Letizia dan dua anak perempuannya berpakaian jersi kebangsaan.

"Kegembiraan seperti ini adalah baik untuk kami," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Julai 2024 @ 8:20 AM
PEMINAT memberi sambutan meriah kepada pemain skuad Sepanyol yang menaiki bas tanpa bumbung sambil membawa trofi Euro 2024. FOTO AFP
PEMINAT memberi sambutan meriah kepada pemain skuad Sepanyol yang menaiki bas tanpa bumbung sambil membawa trofi Euro 2024. FOTO AFP