PENGGUNA perlu lebih prihatin mengenai ruang kenalan mereka supaya tidak menjadi mangsa buli di platform media sosial
PENGGUNA perlu lebih prihatin mengenai ruang kenalan mereka supaya tidak menjadi mangsa buli di platform media sosial
Muhammad Saufi Hassan

Platform media sosial sering kali menjadi 'hab' buli siber khususnya kepada golongan sasaran seperti wanita, selebriti, atlet, malah sesiapa saja tidak terkecuali daripada menjadi mangsa.

Beberapa tahun lalu, Institut Kajian Pasaran (Ipsos) mendedahkan bahawa kegiatan buli siber untuk masyarakat di negara ini semakin parah.

Kajian yang dilaksanakan pada 2018 itu menunjukkan bahawa Malaysia berada di tempat kelima dunia dan terbaharu, kajian sama pada 2020 merekodkan negara turun satu anak tangga iaitu tangga keenam dunia.

Bagi Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef) pula merekodkan Malaysia menduduki tangga kedua di Asia bagi kadar buli siber, sekali gus menunjukkan masalah yang semakin serius.

November lalu, kerajaan dalam usaha mengkaji kewajaran mewujudkan Akta Anti Buli Siber dalam menangani gejala berkenaan yang dilihat semakin membarah.

GEJALA buli siber yang semakin berleluasa memerlukan satu peruntukan perundangan jelas supaya pelaku boleh dikenakan tindakan sewajarnya.
GEJALA buli siber yang semakin berleluasa memerlukan satu peruntukan perundangan jelas supaya pelaku boleh dikenakan tindakan sewajarnya.

Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA) Siraj Jalil berkata, wujud satu keperluan yang mendesak untuk mewujudkan suatu akta yang akan memberi punca kuasa kepada agensi tertentu untuk menangani gejala buli siber.

Menurutnya, buli siber ini bukan sekadar kata cemuhan, herdik dan sebagainya lagi, sebaliknya sudah memasuki paras tekanan mental sehingga mendorong mangsa melakukan tindakan drastik seperti bunuh diri, mencederakan diri sendiri dan sebagainya.

"Kalau kita sebut semula berkenaan kajian Ipsos itu, ia bukan suatu yang boleh dibanggakan apabila negara kita berada di tempat kelima dunia iaitu 71 peratus kadar buli siber.

"Peru berada di kedudukan pertama bagi tahap buli di media sosial tertinggi iaitu 80 peratus diikuti Argentina di tempat kedua dengan 74 peratus.

"Selain itu, Mexico berada di kedudukan ketiga diikuti Brazil, Malaysia, Britain, Kanada dan Amerika Syarikat," katanya.

Siraj berkata, MCCA sentiasa konsisten dalam menyuarakan isu buli siber ini, malah menjadi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pelopor dalam mendepani masalah buli siber ini.

PENGGUNA perlu lebih prihatin supaya tidak menjadi mangsa buli siber.
PENGGUNA perlu lebih prihatin supaya tidak menjadi mangsa buli siber.

"Isu buli siber ini bukan lagi isu terpencil, ia bukan lagi satu dua kes yang jarang dijumpai, sebaliknya sudah memasuki paras yang membimbangkan dan kita tidak mahu masalah ini berlarutan.

"Apakah kita mahu lihat suatu hari nanti ramai anak muda atau sesiapa saja yang menghadapi masalah tekanan mental akibat buli siber, ramai yang bertindak membunuh diri dan sebagainya?

"Ini pastinya bukan cerminan landskap masyarakat yang kita mahu pun jadi, wujud keperluan yang mendesak supaya kerajaan mempercepatkan Rang Undang-Undang (RUU) Akta Buli Siber," katanya.

Beliau berkata, semua pihak mahu ruang media sosial yang tenang, jauh daripada kacau ganggu pembulian dan menjadi platform informasi yang positif.

Menurutnya, platform media sosial seharusnya tidak dicemari dengan pembulian sehingga meragut kewarasan seseorang pengguna.

"Akta ini pastinya akan memberi punca kuasa jelas dan mengambil tindakan kepada sesiapa yang melakukan perbuatan membuli di media sosial.

"Langkah mula ini perlu dipelopori oleh kerajaan supaya ada perundangan jelas dalam menangani hal ini pada masa depan," katanya.

Pada masa sama, Siraj juga mencadangkan pihak berkuasa mewujudkan silibus wajib kepada kelompok pendidikan rendah dan menengah berhubung etika penggunaan siber bagi mengurangkan peratusan pembabitan generasi muda dengan aktiviti buli siber yang kian membarah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Julai 2024 @ 8:12 AM