Natalia bersama pasangannya ketika muncul Juara Dunia Teqball. FOTO Agensi
Natalia bersama pasangannya ketika muncul Juara Dunia Teqball. FOTO Agensi
Agensi

JIKA di Brazil, Natalia Guitler dari Rio de Janeiro dikenali sebagai ratu footvolley.

Kemahirannya menimbang dan mengawal bola cukup mengagumkan sesiapa sahaja yang melihat aksinya.

Natalia yang memiliki tubuh badan menarik dan tinggi lampai turut mencipta sejarah tersendiri sebagai pemain teqball pertama wanita dari Brazil muncul juara pada Kejohanan Teqball Dunia di Hungary baru-baru ini.

Dia yang mula bermain bola sepak sejak berusia 10 tahun selain pernah menjadi pemain tenis profesional selama lima tahun dan menetap di Argentina berada di kedudukan ranking 450 dunia pada usia 22 tahun.

“Tapi sebelum tenis, walaupun masih muda saya juga bermain bola sepak.

“Jadi saya sering berlatih dalam kedua-dua sukan ini yang akhirnya membuatkan saya memilih bermain bola sepak. Malah ketika ini saya masih bermain secara profesional.” katanya.

Skil bola sepak dalam permainan teqball turut membolehkan dia menewaskan Neymar dalam satu pertarungan.

Malah dalam satu aksi pertunjukan Natalia bergandingan baik dengan Ronaldinho tanpa menunjukkan sebarang aksi kekok.

“Sangat hebat dapat beraksi dengan bintang bola sepak seperti Neymar, Ronaldinho.

“Membuatkan perasaan saya puas dan berasa seperti dihormati apabila mereka mahu bermain bola sepak dengan saya. Ini menunjukkan wanita juga mampu bersaing dalam bola sepak,” kata Natalia.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 April 2020 @ 3:05 PM