HAIRUL Nazri bersama isteri, Sairah yang memegang gelang kaki pemberian di samping tunggal mereka. Foto Ihsan Hairul Nazri Abdullah
HAIRUL Nazri bersama isteri, Sairah yang memegang gelang kaki pemberian di samping tunggal mereka. Foto Ihsan Hairul Nazri Abdullah
Redzuan Muharam

Kota Kinabalu: Demi menggembirakan insan tercinta, Hairul Nazri Abdullah mengumpul wang gajinya selama tujuh bulan untuk membeli gelang kaki bagi dihadiahkan kepada isterinya, Sairah Mohd Yusof.

Kisah romantis itu mendapat perhatian warganet selepas Hairul Nazri, 27, memuat naik video memberi kejutan kepada Sairah, 31, yang meraih lebih 1.2 juta tontonan.

Berkongsi kisah sebenar, Hairul yang bekerja sebagai buruh binaan berkata, gelang kaki itu bukan diberi kerana mengikut permintaan isteri sempena ulang tahun kelahiran atau perkahwinan mereka.

Sebaliknya, dia menghadiahkannya sebagai kejutan dan tanda menghargai pengorbanan isterinya sepanjang empat tahun berumah tangga serta penghargaan kerana sudi menerimanya yang banyak kekurangan diri.

"Isteri tak tahu menahu pun rancangan saya nak belikannya gelang kaki emas kerana saja beri kejutan buatnya.

"Saya pun pergi ke kedai emas sendiri untuk beli sebelum hadiahkan pada malam Khamis lalu.

"Waktu beri kejutan itu, isteri sedang layari internet, jadi dia terkejut apabila nampak saya pakaikan gelang emas di kakinya. Dia menangis waktu terima hadiah itu," katanya.

Hairul Nazri berkata, dia sudah menyangka keadaan itu kerana isterinya mudah tersentuh terutama apabila dapat hadiah pemberian diberikannya.

Katanya, lebih menarik gelang emas itu adalah pemberian paling mahal pernah dihadiahkannya kepada Sariah.

"Ikutkan, harganya tak sampai RM2,000 tapi disebabkan sudah pasang niat maka saya usaha kumpul duit selama tujuh bulan hasil kerja sebelum ini di sebuah syarikat geologi.

"Setiap bulan, saya asingkan RM200 ke RM300 di satu akaun bank lain tanpa pengetahuan isteri.

"Apabila duit cukup untuk beli gelang kaki itu, memang puas kerana sebelum ini pun, isteri pernah hadiahkan jam tangan kasut serta cincin perak untuk saya. Jadi tempoh hari giliran saya pula menggembirakannya," katanya yang tidak menyangka perkongsiannya di TikTok mendapat perhatian ramai hingga ramai mendoakannya.

Sementara itu, Sairah tidak menyangka akan menerima hadiah yang cukup berharga baginya.

"Sebelum ini, suami pernah beri saya bunga selain bawa jalan dan makan-makan pada waktu terluang.

"Tapi tempoh hari, dia (suami) hadiahkan gelang kaki, jadi memang terkejut kerana tak tahu perancangannya.

"Gembira sangat sampai sayang nak pakai kerana takut hilang. Apa pun, saya hargai sangat pemberian itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Julai 2024 @ 7:02 AM