LARANGAN bersengketa ketika bulan mulia memberikan kita ibrah agar kehidupan masa kini dibina dengan acuan  Islam mengutamakan  perpaduan.
LARANGAN bersengketa ketika bulan mulia memberikan kita ibrah agar kehidupan masa kini dibina dengan acuan Islam mengutamakan perpaduan.
Oleh Mohd Rizal Azman Rifin

Kini kita sedang berada dalam satu lagi bulan berkat yang penuh rahmat iaitu bulan Muharam yang tidak kurang koleksi pensejarahannya, malah terkandung begitu banyak 'tawaran pahala' daripada Allah buat para hamba-Nya bagi menggandakan amal ibadah.

Mungkin sesetengah daripada kita sudah dapat membuat tanggapan secara logik bahawa maksud Muharam itu ialah bulan haram. Ini kerana adanya kosa kata yang tersisip selepas kata 'mu'. Memang benar tanggapan itu. Cuma hendak diperjelaskan sedikit lagi, bahawa Muharam dari segi bahasa maknanya ialah diharamkan atau pantang iaitu bulan yang Allah larang mencetuskan sebarang peperangan atau pertelingkahan.

Sebenarnya larangan berperang semasa bulan Muharam itu sudahpun dibudayakan oleh masyarakat Arab jahiliyah lagi. Muharam seolah-olah bulan 'gencatan senjata' iaitu semua pihak yang sebelum ini sering berperang antara satu sama lain, akan mengambil langkah menghentikan sementara semasa tibanya bulan Muharam itu.

Bagaimanapun berlaku satu insiden yang melibatkan seorang sahabat Rasulullah SAW yang bernama, Abdullah bin Jashy al-Ashadi sehingga mencetuskan rasa tidak puas hati dalam kalangan kaum Quraisy di samping melemparkan tuduhan buruk ke atas golongan Mukmin. Kalau ditinjau daripada ayat Allah dalam Surah al-Baqarah ayat ke-217 memberikan penjelasan kepada kita bahawa larangan berperang di bulan Muharam itu bukanlah satu larangan mutlak.

Firman Allah: "Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad), mengenai (hukum) berperang dalam bulan yang dihormati. Katakanlah: Peperangan dalam bulan ini adalah berdosa besar, tetapi perbuatan menghalang (orang-orang Islam) daripada jalan Allah dan perbuatan kufur kepada-Nya dan perbuatan menyekat (orang-orang Islam) ke Masjid haram (di Makkah), serta mengusir penduduknya dari situ, (semuanya itu) adalah lebih besar lagi dosanya di sisi Allah. Dan berbuat fitnah lebih besar (dosanya) daripada membunuh. Mereka tidak henti-hentinya memerangi kamu sampai mereka (dapat) mengembalikan kamu daripada agamanya, lalu dia mati dalam kekafiran, maka mereka itulah yang sia-sia amalannya di dunia dan akhirat dan mereka itulah penghuni neraka, mereka kekal di dalamnya."

Ayat Allah ini menjelaskaan kepada kita bahawa perbuatan menghalang seseorang Mukmin di jalan Allah lebih besar dosanya daripada melakukan perlanggaran berperang. Jadi, Islam tidak menghalang gerakan jihad meskipun dalam bulan haram seperti Muharam itu. Sejarah memaparkan bahawa larangan berperang semasa bulan Muharam dimansuhkan setelah peristiwa Pembukaan Kota Makkah.

Larangan bersengketa semasa bulan-bulan mulia itu sebenarnya memberikan kita ibrah dan hikmah agar kehidupan masa kini dibina dengan acuan Islam yang mengutamakan perpaduan sesama ummah. Usah disengketakan isu-isu sensitif yang memungkin tercetus perbalahan sehingga menggugat keharmonian hidup bermasyarakat.

Tadi kita lebih banyak menumpukan kepada pensejarahan bulan Muharam dan kaitannya dengan sosio-budaya masyarakat Arab Quraisy. Sekarang ada baiknya kita menyusuri pula intisari fadilat yang terangkum dalam bulan mulia ini. Pertama yang sangat digalakkan kepada kita ialah memperbanyak amalan berpuasa sunat. Ini berdasarkan kepada satu pesanan Baginda Rasulullah SAW sebagaimana dilaporkan oleh Abu Hurairah. Sabda Baginda: "Seolah-olah puasa selepas Ramadan adalah bulan Muharam dan seafdal-afdal solat selepas solat fardu adalah qiamullail."

Abi Qatadah pula ada melaporkan bahawa Rasulullah SAW ada mengatakan: "Berpuasa pada Hari Asyura akan dihisab oleh Allah, puasa itu akan mengkafarahkan satu tahun puasa setahun sebelumnya." (Hadis riwayat Muslim). Ada lagi pesanan Baginda berkenaan berpuasa di bulan Muharam ini. Yang ini dilaporkan juga oleh Abu Qatadah, tetapi berkisar tentang amalan puasa pada Hari Arafah. Kata Abu Qatadah, Rasulullah SAW ditanya oleh orang tentang puasa Hari Arafah, lalu dijawab oleh Baginda: "Semoga dapat menghapuskan dosa tahun yang lalu dan yang akan datang." Kemudiannya Baginda ditanya pula tentang puasa Hari Asyura. Jawab Baginda: "Semoga dapat menghapuskan dosa tahun yang lalu." (Hadis riwayat Muslim)

Kita disunatkan berpuasa pada Hari Asyura kerana pada hari tersebut terpahat pelbagai rentetan peristiwa yang menggambarkan kegigihan dan perjuangan di jalan Allah untuk menegakkan keadilan dan kebenaran. Ada kisah di sebalik galakan berpuasa pada Hari Asyura ini. Kisah ini dibawa kepada pengetahuan kita oleh Ibnu Abbas yang memberitahu bahawa ketika Rasulullah SAW tiba di Madinah, Baginda melihat kaum Yahudi berpuasa pada Hari Asyura, lalu Baginda pun bertanya: "Hari apa ini? Kata mereka: "Hari ini adalah hari yang baik. Pada hari ini, Allah melepaskan Bani Israel daripada musuh mereka kerana itu Nabi Musa berpuasa kerananya." Mendengar keterangan kaum Yahudi itu, Baginda berkata: "Aku lebih berhak mengikut jejak langkah Nabi Musa daripada kamu." Oleh itu, Baginda Rasulullah SAW berpuasa dan menyuruh orang lain juga turut berpuasa pada hari Asyura." (Hadis riwayat Bukhari)

Namun, Baginda yang sentiasa berpandangan proaktif mengambil langkah membaiki kaedah berpuasa supaya berbeza dengan apa yang kaum Yahudi lakukan. Pesan Baginda: "Berpuasalah kamu pada hari ke-9 dan 10 Muharam dan jangan meniru cara orang-orang Yahudi." (Hadis riwayat al-Baihaqi). Sejak itu hingga ke zaman kita ini, orang Mukmin akan melaksanakan puasa sunat pada Hari Asyura, iaitu pada 8 dan 9 Muharam sebagai menurut jejak langkah Rasulullah SAW.

Jika kita amati dengaan mendalam tarikh 10 Muharam mempunyai catatan sejarah yang cukup menarik untuk kita renungi kerana dalam tarikh tersebut tersingkap pelbagai peristiwa besar dalam Islam. Antaranya, ialah Nabi Adam dengan penuh sugul dan khusyuk bertaubat kepada Allah atas segala keterlanjurannya bersama isterinya, Hawa. Pada tarikh ini juga Allah menyelamatkan Nabi Nuh keluar dari bahteranya sesudah bumi ditenggelamkan selama enam bulan. Bacalah sejarah Nabi Nuh yang gigih berdakwah kepada kaumnya selama lebih sembilan ratus tahun namun hanya sekitar 50 orang yang beriman kepada Allah. Akibat sikap keras kepala dan degil seperti batu itulah Allah turunkan azab kepada kaum Nabi Nuh. Satu peristiwa penuh tragis yang seharusnya kita jadikan ibrah.

Usahlah dibiarkan berlalunya 'tawaran Allah' tanpa kita rebutkannya demi bekalan simpanan akhirat. Apa yang penting, amal ibadah kita perkuatkan, amalan membentuk hubungan ukhuwah ummah kita perteguhkan.

Penulis Pensyarah Kanan Politeknik Muadzam Shah

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Julai 2024 @ 7:02 AM