UMW Toyota Motor Sdn Bhd (UMWT) secara rasmi memperlihatkan sedan eksekutif paling popular, Camry.
UMW Toyota Motor Sdn Bhd (UMWT) secara rasmi memperlihatkan sedan eksekutif paling popular, Camry.
Mohd Razlan Salleh


SEMPENA Pameran Permotoran Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIMS) 2018, UMW Toyota Motor Sdn Bhd (UMWT) secara rasmi memperlihatkan sedan eksekutif paling popular, Camry dengan perubahan ketara berbanding model terdahulu.

Berasaskan konsep pembangunan Toyota New Global Architecture (TNGA), Camry generasi ke-8 ini menerima sentuhan merangkumi reka bentuk, kejuruteraan, pengendalian dan teknologi termaju kejuruteraan automotif.

Lihat sahaja reka bentuknya yang dianggap ‘luar biasa’ berbanding model sama sebelum ini yang lebih menjurus ke ciri eksekutif dan kurang suntikan elemen sporty.

Kini Camry tampil dengan reka bentuk lebih gah dengan elemen sebuah kenderaan Segmen D yang sporty, premium dan berkuasa.

Model dijual pada harga RM189,900 (tanpa insurans) ini adalah model diimport sepenuhnya (CBU) dari Thailand dan hanya varian 2.5V ditawarkan dalam pasaran tempatan.

Presiden UMWT, K Ravindran berkata, Toyota komited untuk beralih daripada sebuah syarikat kenderaan ke syarikat mobiliti termasuk wawasan konsep Mobility For All menjadi kenyataan.

“Toyota mempunyai warisan panjang dalam pembangunan teknologi yang diperlukan dalam usaha mempromosi kehidupan yang cekap dan lestari, baik untuk hari ini mahupun masa hadapan.

“Kami percaya mobiliti adalah lebih daripada sekadar sebuah kereta. Ia mengenai bagaimana mengatasi masalah dan menjadikan impian satu kenyataan,” katanya.

Terdahulu, Camry serba baharu dikuasakan enjin empat silinder 2.5L dipadankan bersama transmisi enam kelajuan automatik mampu menawarkan kuasa 184 PS manakala tork maksimum sehingga 235 Nm.

Bahagian luaran tampak garang dengan gril hadapan lebih futuristik manakala belakangnya pula seakan jentera ‘fastback’.

Platform TNGA seperti model Toyota C-HR menjadikan Camry serba baharu lebih seimbang antara ketangkasan, penampilan dan kestabilan.

Imbangan berat optimum dan pusat graviti rendah menjadikan pemanduan lebih responsif termasuk pada kelajuan tinggi.

Ruang dalaman masih mengekalkan ciri mewah dan latar hitam menghiasi papan pemuka, panel pintu termasuk padanan kerusi kulit gelap.

Sedan eksekutif ini didatangkan dengan Toyota Safety Sense merangkumi Sistem Pra-Perlanggaran, Amaran Pertukaran Lorong (LDA), Bantuan Stereng, Kawalan Cruise Radar Dinamik (DRCC) dan Sistem Lampu Tinggi Automatik (AHB).

Sebanyak lima pilihan warna disediakan iaitu hitam, putih, merah, perak dan kelabu.

Toyota Camry 2.5V serba baharu ini disertakan bersama jaminan lima tahun tanpa had perbatuan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Disember 2018 @ 7:00 AM