Lizam Ridzuan


MELIHAT kepada rekaan model Toyota Camry Serba Baharu 2019, ia memang tampil berbeza jika dibandingkan dengan tujuh generasi sebelum ini.

Kenderaan dalam segmen-D ini kebanyakannya digunakan dalam kalangan eksekutif korporat kini tampil dengan lebih ranggi serta menerima sentuhan lebih muda.

Vroom Metro Ahad memandu uji baru-baru ini bagi merasai keselesaan dan gaya serta prestasi enjin dan pengendaliannya.

REKAAN Camry tampil berbeza.
REKAAN Camry tampil berbeza.

Melihat kepada rekaan luaran, Camry memperkenalkan gaya dinamik dan sporty serta menyerlah sesuai buat golongan pembeli yang lebih muda.

Dibina di atas platfrom Toyota New Global Architecture (TNGA) yang akan menjadi asas pembentukan model-model mereka akan datang .

Rekaan gril diapit dengan lampu hadapan nipis Bi-LED yang disertakan lampu nyalaan siang (DRL) tiga lapisan menjadi ciri signatur untuk model ini.

Garisan bonet rendah pula menyusur sehingga ke belakang but. Dengan sentuhan gaya coupe pada bahagian tiang-C serta ekzos berkembar, ia semakin menyerlahkan yang Camry bukan kenderaan saloon biasa.

Rim aloi 18 inci dengan bilah berwarna perak sepadan dengan bentuk kereta ini yang lebih aerodinamik dan kekal gaya elegannya.

Menjengah ke ruang dalaman menawarkan ruang selesa dengan warna gelap baharu dan segar terutama pada konsol hadapan direka dengan tiga lapisan dan seakan disepadukan pada bahagian tengah.

ALIRAN garis aerodinamik.
ALIRAN garis aerodinamik.

Memberikan suasana berbeza terutama pada kemasan lembut pada beberapa bahagian menjadikan kabin tampil lebih mewah.

Stereng dengan butang pelbagai fungsi direka dengan lebih baik dan selesa ketika memegangnya.

Bagi pemandu, disediakan meter Optitron yang jelas pada sebarang tahap cuaca.

Paparan Maklumat Pelbagai (MID) TFT bersaiz tujuh inci menyediakan maklumat teknikal berkaitan kenderaan.

Tambahan lain seperti radio serta pilihan muzik juga terdapat di situ dan boleh dilaras pada stereng.

Selain itu, ‘Colour Head-Up Display’ bersaiz 10 inci pada cermin hadapan pemandu diambil daripada konsep meter jet pejuang yang jelas pada sebarang cuaca untuk maklumat kelajuan, kedudukan gear, membantu untuk kekal fokus pada pemanduan.

KOKPIT elegan.
KOKPIT elegan.

Kerusi balutan kulit lebih selesa dengan lapan tahap larasan untuk fungsi memori sesuai dengan kedudukan roda stereng dan cermin.

Cermin belakang dipasang tirai automatik yang boleh dinaik turun untuk melindungi cahaya panas masuk ke ruang dalaman.

Sistem hiburan JBL dengan sembilan pembesar suara sangat berkualiti melalui komponen tweeter, subwoofer dan amplifier 800W yang dihubungkan skrin sesentuh bersaiz 8 inci yang turut mempunyai ciri navigasi dan ketersambungan lain.

Untuk kemudahan mengecas telefon pintar, terdapat ruang tanpa wayar Qi Standard pada konsol tengah dan tiga pengecas USB bagi kemudahan keseluruhan penumpang.

Mengenai pemanduannya, Toyota Camry Serba Baharu ini dikuasakan enjin 2.5 liter 4 silinder DOHC petrol dengan Dwi VVT-i, ia menjana kuasa 184PS pada 6,000 rpm dan tork 235NM pada 4,100 rpm.

ENJIN 2.5 liter lancar dan bertenaga.
ENJIN 2.5 liter lancar dan bertenaga.

Dilengkapi Sistem Induksi Kawalan Akustik (ACIS) bagi sistem operasi yang akan melaras pemasaan mengikut kelajuan yang turut menjana kuasa dan penggunaan bahan api efisien.

Kuasa disalurkan kepada transmisi kelajuan automatik Super ECT 6 kelajuan yang direka bagi mengurangkan kehilangan kuasa pada kenderaan serta terdapat pilihan mod manual untuk lebih kawalan pada lonjakan dan tenaganya.

Selain itu, Camry ini turut memiliki Sistem Pemanduan Kuasa Elektrik Selari Axis (EPS) yang membantu mengurangkan berat sistem hidraulik pada roda stereng yang kebiasaannya dipasang pada model lebih mewah dan sporty bagi kemantapan kawalan.

Sistem keselamatan termaju pula didatangkan dengan Sistem Pra-Pelanggaran, Kawalan Pelayaran Radar Dinamik (DRCC).

Penulis menggemari Amaran Pelepasan Laluan (LDA) dengan Bantu Stereng yang ‘menarik’ dengan lancar kenderaan ke laluan asal sekiranya tiada isyarat diberikan untuk menukar lorong.

Ia juga datang dengan Kawalan Bantu Mula-Bukit, tujuh beg udara SRS, Monitor Titik Buta (BSM), Brek Parkir elektrik dengan Memegang Brek Automatik serta Sistem Pemantauan Tekanan Tayar (TPMS) yang seterusnya menambah kelegaan kepada keseluruhan penumpang.

Menerima anugerah lima bintang untuk Program Penilaian Kereta Baharu (NCAP) Asean.

Secara keseluruhan model Camry Serba Baharu ini tampil lebih bergaya dan berbeza berbanding model sebelumnya selain ruang dalaman dan pengendalian terbaik.

Sistem suspensi belakang ‘double wishbon’e dan hadapan MacPherson Stru dilengkapi penstabilan memberi keselesaan dan mantap ketika melayan selekoh.

Kapasiti bahan api 60 liter membolehkan ia bergerak sejauh lebih 500 kilometer (km) bergantung gaya dan corak pemanduan.

Untuk pasaran Malaysia, Toyota Camry Serba Baharu hanya dijual dalam varian 2.5V pada harga RM189,900 (atas jalan tanpa insurans) dengan lima tahun jaminan pengeluar tanpa had perbatuan.

Didatangkan dengan lima pilihan warna iaitu Merah Mica, Putih Platinum Mutiara Mica, Perak Metalik, Grafit Metalik dan Hitam Burning CS GF.

KONSOL tengah dengan sentuhan corak kayu.
KONSOL tengah dengan sentuhan corak kayu.

TOYOTA CAMRY 2.5V

ENJIN: 2.5 liter 4 silinder DOHC petrol Dwi VVT-i

KUASA MAKSIMUM: 184PS pada 6,000 rpm

TORK MAKSIMUM: 235NM pada 4,100 rpm.

TRANSMISI: 6 kelajuan Super ECT

KAPASITI TANGKI BAHAN API: 60 liter

CIRI KESELAMATAN: Sistem Pra-Pelanggaran, Kawalan Pelayaran Radar Dinamik (DRCC), Amaran Pelepasan Laluan (LDA) dengan Bantu Stereng, Kawalan Bantu Mula-Bukit, tujuh beg udara SRS, Monitor Titik Buta (BSM), Brek Parkir elektrik dengan Memegang Brek Automatik serta Sistem Pemantauan Tekanan Tayar (TPMS).

HARGA ATAS JALAN: RM189,900 (atas jalan tanpa insurans)

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Jun 2019 @ 7:33 AM