RAVINDRAN (kanan) dan Takeyama melancarkan Toyota RAV4 Serba Baharu untuk pasaran tempatan.
RAVINDRAN (kanan) dan Takeyama melancarkan Toyota RAV4 Serba Baharu untuk pasaran tempatan.
Lizam Ridzuan


UMW Toyota Motor (UMWT) sebagai pengedar utama kenderaan Toyota di negara ini memperkenalkan Toyota RAV4 Serba Baharu daripada generasi kelima untuk pasaran tempatan.

Presidennya Ravindran K berkata model kenderaan utiliti sukan (SUV) kompak premium iyang terlaris di dunia tu adalah pertama kali dilancarkan secara maya dengan penstriman atas talian serta perincian model dilakukan oleh Timbalan Pengerusi dan Ketua Pegawai Sukan Permotoran UMWT, Akio Takeyama.

"Toyota RAV4 mula dijual di negara ini pada pertengahan 90-an menerusi generasi kedua dan adalah barisan import sepenuhnya (CBU) termasuk model terkini yang turut memenangi Anugerah Kereta Terbaik Jepun untuk tahun 2019-2020," katanya ketika pelancaran hari ini.

Antara cirinya terbaharunya ialah dibangunkan menggunakan Dynamic Force Engine dan dibina di atas platform Toyota New Global Architecture (TNGA) bagi menawarkan rekaan ranggi serta prestasi pengendalian dan keselesaan seperti pemanduan sebuah sedan.

Dua pilihan enjin serba baharu ditawarkan iaitu 2.5 liter dan 2.0 liter dengan VVT-iE untuk kuasa yang responsif serta penggunaan bahan api 40 peratus lebih efisien masing-masing dengan kuasa kuda 207PS dan 123PS serta tork 243Nm dan 207Nm.

RAV4 Serba Baharu juga dilengkapi pintu belakang dengan sensor penggerak kaki, ruang kabin selesa dengan kerusi belakang boleh direndahkan penyandarnya dan kerusi hadapan lapan posisi serta fungsi memori dan sistem pengudaraan.

Untuk ciri keselamatan ia disediakan dengan sistem bantuan pemandu Toyota Safety Sense (TSS) seperti Sistem Pra-Perlanggaran, Amaran Penukaran Lorong dengan Bantuan Stereng, Bantuan Pengesanan Lorong dan Kawalan Pelayaran Radar Dinamik untuk semua kelajuan serta Lampu Tinggi Automatik dan tujuh beg keselamatan SRS.

Untuk pasaran Malaysia, Toyota RAV4 Serba Bahru ditawarkan dengan dua varian iaitu 2.5L dan 2.0L dengan enam pilihan warna yang dijual pada harga RM215,665 dan RM196,436 serta jaminan pengeluar selama lima tahun tanpa had perbatuan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Jun 2020 @ 11:03 AM