GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Skuad Khas Harian Metro


Kuala Lumpur: Persoalan ilmu dan mengambil hak orang perlu menjadi pertimbangan kepada jemaah sebelum memilih untuk melaksanakan haji secara DIY bagi memperoleh ibadah yang paling sempurna.

Pendakwah bebas, Ustaz Jafri Abu Bakar Mahmoodi berkata, ia perlu diteliti sebaik mungkin kerana mengerjakan haji bukan perkara yang main-main apatah lagi ia salah satu daripada Rukun Islam.

Katanya, untuk mendapatkan haji yang mabrur, seseorang jemaah bukan saja perlu bersedia dengan ilmu semata-mata, sebaliknya pembimbing atau pakar rujuk sekiranya berdepan masalah di Tanah Suci.

"Berdasarkan pengalaman saya ketika melaksanakan ibadah haji tahun lalu, saya berjumpa dengan kumpulan yang melaksanakan haji DIY ini.

"Kalau orang-orang yang pergi melaksanakan haji mengikut muassasah atau mengikut Tabung Haji atau mengikut agensi haji, ada pembimbing-pembimbing haji yang duduk dengan mereka yang boleh dijadikan rujukan.

"Tetapi DIY ini, itulah di antara kekurangannya, sedangkan haji adalah ibadat yang perlu dilakukan sesempurna mungkin," katanya.

Menurutnya, beliau pernah berjumpa individu yang bermasalah ketika mengerjakan haji dan tidak mengetahui bahawa ia satu kesalahan, namun ada pembimbing yang membantu.

"Bayangkan kalau dia langsung tak ada pembimbing apa yang akan berlaku kepada dia? Isu ilmu dan pembimbing ini penting. Sebab akan banyak berlaku keadaan-keadaan yang memerlukan kepada penentuan hukum," katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Kompleks Islam Dar Al Faizin (Kidaf), Kedah berkata, isu kedua adalah persoalan mengambil hak orang lain iaitu jemaah yang sudah pun membayar untuk kemudahan serta menunaikan haji dengan selesa.

Katanya, beliau pernah berdepan situasi ada jemaah DIY yang mengambil makanan disediakan kepada mereka yang sudah pun membayar tanpa sebarang keizinan.

"Kelompok DIY Yang masuk dan menggunakan khemah makan makanan yang diperuntukkan kepada orang-orang yang melaksanakan ibadah haji.

"Setiap daripada orang yang buat haji perlu bayar tak kurang RM6,000 untuk khemah, tilam dan juga makanan serta semua fasiliti yang ada di Arafah dan juga di Mina.

"Sedangkan orang yang buat DIY mereka tak bayar lalu mereka masuk menggunakan khemah, makanan dan fasiliti yang ada. Bagaimana keadaan dia mengambil hak orang yang membayar perkhidmatan itu," katanya.

Justeru, beliau menasihatkan bakal jemaah supaya merujuk terlebih dulu dengan agensi berkaitan untuk mendapatkan penjelasan sebelum membuat keputusan.

"Rujuk kepada alim ulama yang arif dalam bidang ini sebelum buat keputusan sama ada boleh ataupun tidak dan apa hukumnya berkaitan dengan apa yang saya sebutkan tadi.

"Kita semua mahukan yang terbaik dalam ibadat dan perlu pastikan kita berkemampuan dari segi semua aspek untuk menunaikan haji," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Mei 2024 @ 12:01 PM