Sultan Kelantan Sultan Muhammad V menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Al-Ismaili Bandar Baru Pasir Pekan, Tumpat. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Sultan Kelantan Sultan Muhammad V menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Al-Ismaili Bandar Baru Pasir Pekan, Tumpat. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Nor Fazlina Abdul Rahim


Tumpat: Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V berangkat menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Ismaili, Pasir Pekan, di sini hari ini.

Baginda tiba jam 8.47 pagi sebelum menyertai lebih 3,000 jemaah yang hadir.

Turut mengiringi baginda, Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Petra; Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Tan Sri Datuk Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz dan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud.

Solat sunat Aidiladha itu diimamkan oleh Imam Besar Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK), Muhamad Hana Fizi Abdullah dan khutbah dibacakan Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri

Antara pengisian khutbah menyebut Aidiladha adalah hari untuk memperingati peristiwa besar pengorbanan agung, penyerahan dan kepatuhan kepada perintah Allah SWT yang paling tinggi dan ikhlas yang kekal menjadi contoh mithali di sepanjang sejarah kemanusiaan.

"Di zaman kebelakangan ini, manusia sudah lesu dan lemah semangat juang kerana kehidupan sudah dikuasai oleh pengaruh materialisme, pengaruh kebendaan, hawa nafsu dan ditimpa musibah penyakit cintakan dunia selain takut mati.

"Lihat apa yang terjadi kepada saudara-saudara kita yang seagama, seiman di Palestin dan di negara umat Islam yang lain.

"Kita dapat dengar jerit tangis mereka apabila Zionis Israel tanpa henti-henti melancarkan ancaman senjata, terus menumpahkan darah, menjatuhkan kehormatan dan merampas kekayaan umat Islam.

"Apa yang berlaku dan terjadi di Palestin sudah cukup untuk umat Islam di negara kita mengambil ingatan dan pelajaran untuk tamatman zaman perpecahan dan perbalahan sesama sendiri.

"Seluruh umat Islam dari peringkat pimpinan dan rakyat wajib mempunyai kesedaran untuk menyatupadukan bangsa dan umat Islam," katanya.

Sultan Muhammad V kemudiannya berangkat meninggalkan perkarangan Masjid Ismail jam 9.30 pagi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Jun 2024 @ 10:01 AM