Jemaah haji perlu memenuhi syarat serta rukun.
Jemaah haji perlu memenuhi syarat serta rukun.
Skuad Khas Harian Metro


Kuala Lumpur: Jemaah haji yang melaksanakan ibadah berkenaan secara sendiri atau DIY berkemungkinan tidak dapat melaksanakan ibadah berkenaan dengan sempurna kerana kurang bimbingan serta tidak melalui pembelajaran yang sewajarnya.

Mufti Pahang, Prof Datuk Dr Asmadi Mohamed Naim berkata, mereka (jemaah haji DIY) tidak melalui pembelajaran sebagaimana yang dibimbing oleh Tabung Haji (TH).

Menurutnya, ibadah haji ini mempunyai syarat serta rukun yang tersendiri jadi memerlukan jemaah dibimbing dengan pembimbing yang benar-benar faham.

"Jika mereka sudah mempelajari haji sekalipun, mereka terpaksa melakukan larangan haji yang banyak dan membayar dam kerana tidak mahu menzahirkan diri sebagai jemaah haji kerana takut ditangkap pihak berkuasa di negara itu (Arab Saudi).

"Dalam kewajipan haji, istata'ah atau kemampuan adalah syarat penting yang mewajibkan seseorang menunaikan haji.

Prof Datuk Dr Asmadi Mohamed Naim
Prof Datuk Dr Asmadi Mohamed Naim

"Istata'ah bukan saja pada wang ringgit dan kesihatan, tetapi ketersediaan giliran haji untuk jemaah menunaikan haji dan jika giliran belum sampai, maka banyakkanlah berdoa semoga giliran kita sampai," katanya kepada Harian Metro, semalam.

Asmadi berkata, kesan jangka panjang jika 'haji DIY' ini tidak ditangani akan mengganggu hubungan rasmi antara dua negara dan berkemungkinan turut mengganggu jemaah haji yang lain.

Beliau berkata, kepada jemaah yang menanam azam untuk menunaikan haji, teruskan berdoa dan perlu mengikut saluran yang betul.

"Bagaimanapun, jika haji 'DIY' ini dilaksanakan memenuhi syarat serta rukun, ia tetap sah, namun jika perkara berkenaan menyalahi undang-undang atau mendatangkan mudarat lebih besar, maka jemaah mungkin berdosa.

"Ini kerana menunaikan haji sepatutnya tidak melazimkan kita memudaratkan maruah, tubuh badan dengan terpaksa ditangkap, dipenjara, hidup tidak keruan dan sebagainya, bahkan melanggar arahan pemerintah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Mei 2024 @ 12:02 PM