Razali Mohd Sham
Razali Mohd Sham
Fairul Asmaini Mohd Pilus


Kuala Lumpur: Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji (PAPUH) menasihatkan orang ramai berhasrat menunaikan haji khususnya kali pertama supaya tidak mengerjakan ibadah itu secara sendiri (DIY) menggunakan visa pelancong bagi mengelakkan sebarang risiko tidak diingini.

Pengerusinya, Datuk Seri Razali Mohd Sham berkata, melaksanakan ibadah haji secara sendirian tanpa bantuan pembimbing berisiko menjejaskan kesempurnaan ibadah itu kerana jemaah yang pertama kali biasanya kekurangan ilmu berkenaan hukum berkaitan.

"Selain itu, ada peraturan yang akan berubah setiap tahun dan sekiranya tidak melalui muasasah, Tabung Haji (TH) atau agensi Pengelola Jemaah Haji (PJH) yang sah, bagaimana semua info itu akan dapat diketahui?

"Tidak kira di mana negara sekali pun, masalah akan timbul sekiranya kita tidak mengikuti peraturan yang ditetapkan.

"Jadi, dalam hal ini penting kepada semua bakal haji untuk menggunakan saluran yang betul kerana sebaik sahaja tiba di Arab Saudi, kita tertakluk kepada peraturan dan undang-undang negara mereka," katanya.

Mengulas lanjut Razali berkata, perkhidmatan yang disediakan oleh TH haruslah digunakan dengan sebaiknya dan jika mampu, orang ramai boleh menggunakan saluran agensi berlesen yang diiktiraf sebagai PJH.

Kata Razali, untuk musim haji tahun ini, sebanyak 25 agensi berdaftar diberikan lesen PJH.

Ujarnya, Malaysia hanya mendapat kouta haji sebanyak 31,600 sahaja setiap tahun sedangkan yang menunggu giliran lebih ramai dari itu.

"Ia antara punca mengapa orang ramai perlu menunggu lama untuk mendapatkan giliran menunaikan haji.

"Kekangan kouta itu juga turut menjadi pendorong ramai yang berhasrat melakukan ibadah haji secara DIY," katanya.

Sementara itu, Razali berkata, secara umumnya memang benar menggunakan visa pelancong juga dapat memasuki Arab Saudi dan tempoh menetap yang diberikan juga agak lama iaitu selama 90 hari bagi setiap kemasukan.

Namun tegas beliau, untuk ibadah haji, ada peraturan khusus ditetapkan oleh negara berkenaan terutama membabitkan permit memasuki Arafah untuk berwukuf.

"Di Arafah penting kerana di situlah Hari Wukuf berlaku dan sekiranya tidak dapat memasuki kawasan itu, maka tidak bolehlah mendapat haji.

"Jadi, untuk mengelakkan sebarang risiko yang tidak diingini dan dapat menyelesaikan semua rukun dengan tenang serta sempurna, pilihlah saluran yang betul yang disediakan pihak berkaitan, " katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Mei 2024 @ 12:01 PM