DUA Pembimbing Ibadat Haji Tanah Suci (PIHTAS) menjawab masalah jemaah haji menerusi talian TAIB. FOTO Tuan Asri Tuan Hussein
DUA Pembimbing Ibadat Haji Tanah Suci (PIHTAS) menjawab masalah jemaah haji menerusi talian TAIB. FOTO Tuan Asri Tuan Hussein
Tuan Asri Tuan Hussein


PERKHIDMATAN Talian Ibadat Haji (TAIB) yang disediakan Tabung Haji (TH) seharusnya menjadi teman akrab kepada jemaah haji Malaysia dalam usaha menghasilkan ibadat yang sempurna ke arah memperoleh haji mabrur.

Diperkenalkan sejak tujuh tahun lalu, TAIB dioperasikan sebaik mungkin untuk membantu menyelesaikan segala kekeliruan dan permasalahan jemaah mengenai hukum fikah ibadat haji, umrah dan fardu ain.

Pengarah Operasi Bimbingan TH Tengku Aziz Raja Abdullah berkata, pihaknya mahu jemaah menghubungi TAIB menerusi talian 01 2570 6161 pada bila-bila masa dan di mana saja apabila berasa was-was atau keliru sama ada sah atau tidak ibadat mereka.

“Jemaah boleh hubungi TAIB di mana saja mereka berada, sama ada di Masjidilharam, Arafah atau dalam perjalanan dan kita akan terus memberi penyelesaian kepada permasalahan yang diajukan.

"Bukan saja masalah haji dan umrah, aspek fardu ain pun kita akan bantu terangkan," katanya dalam sidang media kepada wartawan Malaysia di pejabat operasi TH di hotel Abraj Al-Janadriyah, di Makkah.

Menurutnya, pada masa ini TAIB beroperasi sehingga jam 1 pagi setiap hari sebelum diperluaskan sehingga 24 jam sehari bermula dua minggu sebelum wukuf dan dua minggu selepas wukuf.

Tengku Aziz berkata, TAIB dikendalikan secara bergilir-gilir oleh empat PIHTAS atau Pembimbing Ibadat Haji Tanah Suci di bawah unit Bimbingan diketuainyq.

Menurutnya, kerap berlaku jemaah haji, termasuk yang sudah lama pulang ke tanah air, menghubungi semula pihak TH berikutan timbul perasaan was-was terhadap status ibadah haji mereka.

“Tak guna jemaah datang ke Tanah Suci, walaupun menggunakan pakej yang mahal dan duduk di hotel mewah tapi ibadah haji mereka tidak sah.

“Sebab itu kita nak jemaah buat semakan dengan bahagian bimbingan TH terlebih dahulu selepas selesai ibadat Masyair di Arafah, Muzdalifah dan Mina, sebelum mereka pulang ke tanah air atau meninggalkan Makkah.

"Sekiranya pembimbing ibadah haji mengesahkan ibadah haji jemaah itu sudah lengkap dan sempurna, peganglah ia sehinggalah meninggal dunia," katanya.

Tengku Aziz berkata, biarpun wujud pelbagai pendapat mengenai sesuatu permasalahan, PIHTAS akan memberi jawapan berdasarkan pendapat Ahli Sunnah Waljamaah dan keputasan muzakarah haji setiap tahun.

Selain itu, katanya, setiap tahun, TH menjemput pakar rujuk datang ke tanah suci bagi menyelesaikan permasalahan baru yang perlu jawapan segera sebelum jemaah pulang ke tanah air.

Pada tahun ini, tiga pakar rujuk terbabit ialah Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Zulkfili Mohamad Al-Bakri, Penasihat Majlis Agama Islam Johor Datuk Noh Gadut dan Pensyarah Universiti Malaya Profesor Madya Dr Raihanah Azahari.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Julai 2018 @ 12:22 PM