REMY. FOTO Arkib NSTP
REMY. FOTO Arkib NSTP
Najiy Jefri

Kuala Lumpur: "Buat masa ini, saya sedang mempersiapkan diri untuk menjadi suami mithali," kata pelakon popular Remy Ishak mengenai persiapan sebelum bergelar suami kepada wanita pilihan hatinya, Ezza Yusof yang dijangka berlangsung pada pagi Sabtu ini.

Remy berkata, majlis pernikahannya akan diadakan di sebuah lokasi sekitar ibu kota dengan kehadiran jumlah tetamu yang terhad.

"Saya akan melangsungkan majlis pernikahan di sekitar Kuala Lumpur. Pihak Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) sudah memaklumkan hanya beberapa orang saja dibenarkan untuk menghadiri majlis akad nikah ini.

"Jadi persiapan tidaklah besar mana, cuma persediaan dari segi pakaian pengantin. Lagipun keluarga tidak dapat hadir apatah lagi mengadakan majlis doa selamat.

"Insya-Allah selepas tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN) tamat, jika ada rezeki barulah saya akan fikir untuk mengadakan majlis hari bahagia kami," katanya dalam sebuah program TV, hari ini.

EZZA bakal isteri Remy. FOTO IG
EZZA bakal isteri Remy. FOTO IG

Menurut Remy, mengikut perancangan awal dia berhasrat untuk mengadakan majlis pernikahan secara terbuka yang boleh dihadiri ahli keluarga dan kenalan rapat.

"Sepatutnya majlis pernikahan saya berlangsung pada Mei lalu, tapi disebabkan PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) tiada majlis boleh dilakukan.

"Sebolehnya saya nak majlis pernikahan diadakan dengan kehadiran tetamu tapi andai kata tidak boleh jadi kami teruskan dengan majlis yang sederhana saja. Lagipun kedua-dua belah pihak pun setuju untuk meneruskan majlis pernikahan ini dalam suasana ketika ini," katanya.

Remy dan Ezza pernah mengikat tali pertunangan pada 2017, namun putus pada 2019. Bagaimanapun, ikatan kasih mereka bercantum kembali tahun ini.

GAMBAR ketika bertunang pada 2017. FOTO IG
GAMBAR ketika bertunang pada 2017. FOTO IG

Berita berkaitan

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Ogos 2021 @ 10:18 PM