BAGI Farhana Akmal, tiada apa yang mustahil selagi dia menerima sokongan penuh daripada ibu bapanya.
BAGI Farhana Akmal, tiada apa yang mustahil selagi dia menerima sokongan penuh daripada ibu bapanya.
Noor Nabilah Ibrahim


BUKAN suatu perkara mudah bagi seorang wanita untuk menjadi ahli kimia dan pengasas produk kecantikan sendiri pada usia muda seawal 25 tahun.

Bagaimanapun bagi Farhana Akmal Azahar, tiada apa yang mustahil selagi dia menerima sokongan penuh daripada ibu bapanya.

Graduan ijazah sarjana bidang 'Safety, Health and Environment Engineering' dari Universiti Malaya (UM) ini gigih menimba ilmu pengetahuan bukan sahaja demi mencapai cita-cita sejak remaja malah untuk membanggakan kedua-dua orang tuanya.

"Orang tua tidak akan pernah maklumkan mereka susah, tapi mereka akan sentiasa ada duit untuk bagi kepada kita.

"Saya bukan berasal daripada keluarga yang kaya dan berpendidikan tinggi, tapi ibu dan ayah sentiasa bekerja keras untuk menyokong pengajian dan cita-cita saya," katanya.

Bermula dengan menyambung pengajian ke peringkat ijazah sarjana muda dalam bidang oleokimia selama empat tahun dan menjalani latihan praktikal selama dua tahun sebagai ahli kimia, Farhana Akmal tidak berputus asa membuat penyelidikan bagi menghasilkan produk kecantikan sendiri.

"Ketika saya menjalani latihan praktikal, saya menempuhi pelbagai cabaran seperti masalah jerawat yang teruk, formula saya dicampak dan saya perlu berunding dengan untung 'margin' yang sangat tinggi untuk menghasilkan produk.

"Saya tidak boleh buat sebarang kesilapan walaupun sebagai pelatih, jadi perkara ini amat memberi tekanan kepada saya," katanya.

AHLI kimia mengaku terpaksa bersusah payah timba ilmu dalam bidang perniagaan untuk berjaya.
AHLI kimia mengaku terpaksa bersusah payah timba ilmu dalam bidang perniagaan untuk berjaya.

Menurutnya, dia perlu berada di tahap bawah untuk menghargai pencapaian yang diperoleh pada masa sekarang.

"Dulu saya seorang yang kekok untuk menerima sokongan moral daripada orang lain. Disebabkan terlalu tertekan, saya belajar untuk tidak menolak sokongan itu.

"Apabila kita belajar untuk menerima, kita akan ada sebab dan faktor untuk terus bergerak ke depan," katanya.

Yang secupak takkan jadi segantang, Farhana Akmal mengaku bukan mudah dia sebagai seorang ahli kimia, dalam masa yang sama perlu menimba ilmu dalam bidang perniagaan.

"Saya tidak banyak bercakap dengan orang luar kerana sering berada di dalam makmal tetapi, apabila membabitkan bidang perniagaan, saya perlu belajar untuk bergaul dengan ramai orang.

FARHANA Akmal tidak berputus asa membuat penyelidikan bagi menghasilkan produk kecantikan sendiri.
FARHANA Akmal tidak berputus asa membuat penyelidikan bagi menghasilkan produk kecantikan sendiri.

"Tambahan pula, saya bukan sahaja perlu bijak mengurus masa, malah saya juga perlu bijak mengurus kewangan," katanya.

Sungguhpun begitu, dia tetap berani mengambil risiko kerana baginya tidak rugi untuk mencuba.

Kini, anak keempat daripada lima beradik ini berjaya menaikkan nama produk kecantikan sendiri dalam masa empat bulan dengan pengikut seramai 38,000 di TikTok.

Mengulas lanjut, dia mula belajar untuk memasarkan produk melalui pemerhatian dengan mengikut rakan yang berpengalaman dalam bidang itu.

MENERIMA anugerah dekan dalam pengajian Ijazah Sarjana dengan CGPA 3.9 di Universiti Malaya.
MENERIMA anugerah dekan dalam pengajian Ijazah Sarjana dengan CGPA 3.9 di Universiti Malaya.

"Selepas tamat pengajian dalam ijazah sarjana, saya ikut rakan ke sana dan ke sini untuk belajar teknik pemasaran kemudian saya praktik sendiri.

"Zaman dah berubah, cara orang berniaga pun berubah, jadi saya perlu mengikut peredaran masa," katanya.

Tambahnya lagi, jangan sesekali memandang rendah ilmu pendidikan kerana orang yang mempunyai pengetahuan yang luas akan tahu cara untuk membawa diri di mana sahaja mereka berada.

"Sebenarnya ramai pengasas yang menjual produk kecantikan dengan bahan merkuri, kadang-kadang mereka sendiri pun tidak tahu produk berkenaan mempunyai bahan terlarang.

"Kalau kita ada ilmu yang luas dalam suatu bidang, kita boleh bantu untuk mendidik orang lain," katanya.

KELUARGA menjadi dorongan Farhana Akmal untuk berusaha mencapai cita-cita yang diinginkan.
KELUARGA menjadi dorongan Farhana Akmal untuk berusaha mencapai cita-cita yang diinginkan.

Farhana Akmal berhasrat untuk menghasil dan menjual produk kecantikan yang lebih mesra alam di masa akan datang dengan ilmu yang dipelajari di peringkat ijazah sarjana.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Jun 2023 @ 3:31 PM