MIYA (kanan) bersama model memperagakan beg yang dihasilkannya.
MIYA (kanan) bersama model memperagakan beg yang dihasilkannya.
Hafiz Ithnin


SEJAK jenamanya diwujudkan pada 2013 sehingga kini, mungkin lebih 50,000 beg pelbagai segmen kegunaan sudah dijual di pasaran tempatan dan antarabangsa.

Tidak sekadar itu, hasil koleksi beg buatan tangannya juga mendapat perhatian pelbagai lapisan pengguna termasuk pernah dijadikan hadiah untuk seorang menteri.

Bagi Amira Fatiha Abdul Hamid atau lebih mesra disapa Miya, dia sebenarnya tidak menyangka aktiviti mengisi waktu kosong sementara menyambung pengajian ke peringkat ijazah sarjana muda pada 2013 menjadi permulaan untuk membuka perniagaan sendiri.

Miya berkata, dia mempunyai latar belakang pendidikan dalam jurusan seni fesyen sehingga peringkat sarjana dari Universiti Teknologi Mara (UiTM).

"Walaupun mengambil jurusan ini sinonim untuk menjadi pereka fesyen pakaian, tetapi saya melihat aksesori seperti beg juga salah satu cabang daripadanya.

"Jadi, pada 2013, saya cuba mengolah bahan terpakai daripada polyvinyl chloride (PVC) lut sinar dan akhirnya berjaya menghasilkan aksesori seperti beg dan bekas menyimpan peranti elektronik seperti tablet dan telefon pintar," katanya.

Jelasnya, bermula dari situ dia mula mengembangkan bakat kerja seni berkenaan untuk menghasilkan beg yang boleh ditempah pelanggan sama ada menggunakan bahan PVC atau kulit.

Miya berkata, dalam tempoh beberapa bulan sahaja selepas cuba menghasilkan produk sendiri, beg keluarannya mendapat permintaan daripada pelanggan baharu.

"Jadi pada September 2013, saya mendaftarkan syarikat untuk lebih serius walaupun ketika itu masih menunggu keputusan untuk menyambung pelajaran ke peringkat sarjana muda. Justeru, pada tahun itu lahir jenama Paku.

MENGGUNAKAN teknik ringkas untuk menghasilkan beg.
MENGGUNAKAN teknik ringkas untuk menghasilkan beg.

PELBAGAI beg dihasilkan Miya dengan harga mampu milik.
PELBAGAI beg dihasilkan Miya dengan harga mampu milik.

"Bagi saya untuk menghasilkan aksesori seperti beg ini memerlukan kreativiti dan faham dengan kehendak pelanggan terutama bagi mereka yang menempah secara eksklusif," katanya.

Jelasnya, walaupun terdapat pelbagai cabaran dalam perniagaan, tetapi dia puas menjadi usahawan pada usia muda.

"Apabila kita menjadi usahawan ini, saya melihat perkara paling penting ialah perlu bijak membuat keputusan bagi memastikan produk yang ingin dijual mampu menarik perhatian.

"Walaupun kadangkala keputusan yang dibuat itu tidak tepat dan merugikan, jangan putus asa kerana ia sebahagian daripada cabaran untuk mengukuhkan perniagaan," katanya.

Katanya, abangnya, Mohamad Azim Abdul Hamid adalah individu yang paling memberi galakan selain kedua-dua ibu bapanya, Norlia Said dan Abdul Hamid Mohamad yang menjadi tonggak utama dan tidak terkecuali suaminya, Uzair Zahid Ariffin.

"Pada mulanya, saya melakukan proses pembuatan seratus peratus di rumah sahaja. Ketika di rumah abang saya adalah individu yang paling tegas untuk memastikan produk keluaran saya mampu menarik perhatian pelanggan.

"Sehingga pada tahun lalu, suami pula memberi galakan untuk membuka studio sendiri supaya lebih mudah orang ramai membuat tempahan dan melaksanakan proses pembuatan," katanya

yang kini mempunyai lima pekerja.

Miya berkata, sepanjang terbabit dalam perniagaan itu dia juga pernah mengikuti pameran keusahawanan yang dianjurkan kerajaan ke luar negara.

MENGGUNAKAN konsep ‘paku’ sebagai aksesori beg tangan.
MENGGUNAKAN konsep ‘paku’ sebagai aksesori beg tangan.

SENTUHAN beg tangan Miya sesuai untuk pelbagai peringkat usia.
SENTUHAN beg tangan Miya sesuai untuk pelbagai peringkat usia.

"Saya mengikuti agensi di bawah kerajaan iaitu Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan Kraftangan Malaysia bagi mempromosikan produk saya ke United Kingdom, China dan Thailand.

"Ia satu pengalaman yang menarik kerana sebagai usahawan muda saya dapat mengetahui kehendak pasaran antarabangsa," katanya.

Miya berkata, sebagai usahawan dalam bidang rekaan beg sudah pasti mempunyai cita-cita untuk mempunyai jenama yang bukan sahaja gah di pasaran tempatan, malah setaraf dengan jenama antarabangsa yang lain.

"Saya sememangnya ke arah bagi memastikan jenama saya dapat dikenali kerana proses pembuatan tangan yang teliti dan paling penting mampu milik.

"Jadi, sebagai pereka beg sudah pasti mempunyai cita-cita ke arah itu. Namun, saya perlu bekerja lebih keras dan mewujudkan kesedaran menerusi pelbagai kempen," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Mac 2021 @ 7:00 AM