TANGKAP layar hantaran di Instagram Ahmad Khuzaimi Piee. FOTO Ihsan KHUZAIMI PIEE
TANGKAP layar hantaran di Instagram Ahmad Khuzaimi Piee. FOTO Ihsan KHUZAIMI PIEE
Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Rumah pemain pertahanan Selangor FC, Ahmad Khuzaimi Piee, dipecah masuk ketika beliau keluar menjalani sesi latihan di Pusat Latihan Selangor di sini, semalam.

Menurut laporan polis yang beliau kongsikan di Instagramnya, Khuzaimi kehilangan sebuah motosikal, empat beg pelbagai jenama dan pasport.

Laporan polis dibuat oleh mangsa pada 11.30 malam selepas pulang dari sesi latihan berkenaan.

"Kira-kira 9 malam semasa saya sampai di rumah, saya dapati pintu pagar depan dan belakang, terbuka.

"Saya buat pemeriksaan di dalam rumah dapati ada barang-barang yang hilang seperti sebuah motosikal jenis Yamaha Y15, empat beg silang pelbagai jenama dan pasport.

"Hasil pemeriksaan awal anggaran dan lain-lain kerugian saya tidak pasti, tujuan saya membuat laporan adalah untuk tindakan lanjut daripada pihak polis serta pihak yang berkenaan," menurut laporan polis yang dibuat beliau malam tadi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim ketika dihubungi memberitahu pihaknya akan mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung perkara itu, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Mei 2024 @ 9:36 AM