CEO SFC, Dr Johan Kamal Hamidon. -FOTO NSTP
CEO SFC, Dr Johan Kamal Hamidon. -FOTO NSTP
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Selangor FC (SFC) akan terus memperketatkan lagi langkah keselamatan membabitkan kediaman pemain dan kakitangan pasukan susulan rumah pemain pertahanan Selangor FC, Ahmad Khuzaimi Piee, dipecah masuk, 23 Mei lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif SFC, Dr Johan Kamal Hamidon memaklumkan bahawa pihaknya akan bekerjasama dengan Polis untuk lebih kerap lagi melakukan rondaan terutamanya membabitkan kediaman Khuzaimi.

Pada masa sama, beliau juga tidak mahu membuat sebarang spekulasi atau andaian berkaitan insiden membabitkan Khuzaimi dan menyerahkan perkara itu kepada Polis untuk tindakan susulan.

"Untuk kes Jimmy (Khuzaimi), kita masih menunggu siasatan Polis. Kita tidak boleh rumus atau buat spekulasi sama ada kes ini berkait atau terpencil. Sama ada mensasarkan pemain bola sepak atau Jimmy tak bernasib baik.

" Kita akan meneruskan langkah yang kita sudah buat ekoran serangan asid Faisal Halim. Pada masa sama, kita sentiasa menyokong Jimmy dan memberi jaminan berkaitan keselamatan.

" SFC juga sentiasa berhubung dengan Polis dan melakukan rondaan lebih kerap di kediaman Jimmy. Jika Jimmy mahu duduk hotel pun kita akan usahakan kerana mahu dia rasa selamat," katanya.

Sebelum ini, Arena Metro melaporkan kediaman Khuzaimi dipecah masuk ketika beliau keluar menjalani latihan di Pusat Latihan Selangor di Shah Alam.

Menurut laporan polis yang beliau kongsikan di Instagram, Khuzaimi kehilangan sebuah motosikal, empat beg pelbagai jenama dan pasport antarabangsanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Mei 2024 @ 5:11 PM