DATUK Seri Shahril Mokhtar. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
DATUK Seri Shahril Mokhtar. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Selangor FC mengambil langkah susulan dengan mempertingkatkan lagi kawalan keselamatan membabitkan pemain susulan kes pecah rumah tonggak pertahanan Selangor FC, Khuzaimi Piee, semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Selangor FC Datuk Seri Shahril Mokhtar berkata, pasukannya sentiasa menitik berat mengenai keselamatan pemain dan pegawai kelab terutamanya selepas insiden simbahan asid membabitkan tonggaknya Faisal Halim, baru-baru ini.

"Dr. Johan Kamal Hamidon, Ketua Pegawai Eksekutif kami, sedang menguruskan situasi ini. Nasib baik, Khuzaimi tiada di rumah semasa kejadian pecah masuk.

"Sebaik sahaja saya mendengar tentang kejadian itu, saya terus menemuinya. Kami akan menyokongnya dalam apa jua kapasiti yang mampu.

"Kelab ini bekerjasama rapat dengan pemain dan pegawai pasukan kerana keselamatan mereka adalah keutamaan kami," katanya.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan rumah pemain terbabit dipecah masuk ketika beliau keluar menjalani sesi latihan di Pusat Latihan Selangor, semalam.

Menurut laporan polis yang beliau kongsikan di Instagramnya, Khuzaimi kehilangan sebuah motosikal, empat beg pelbagai jenama dan pasport.

Susulan kejadian itu, Khuzaimi mengambil langkah berjaga-jaga selepas alamat tempat tinggal ahli keluarga terdedah susulan kejadian itu.

Khuzaimi berkata, kejadian terbabit mencetuskan kebimbangan berikutan beberapa dokumen penting seperti passport hilang sekali gus alamat rumah keluarganya di kampug kemungkinan terdedah kepada umum.

Dia yang juga bekas pertahanan Negeri Sembilan memaklumkan bahawa ketika kejadian rumahnya tidak berpenghuni memandangkan isteri dan anaknya ketika ini menetap di Melaka.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Mei 2024 @ 3:31 PM