POLIS menumpaskan satu sindiket pemalsuan pasport dengan penahanan tiga lelaki warga Bangladesh yang dikesan melakukan pemalsuan dokumen itu di sebuah rumah di Taman Ampang Utama di sini, Sabtu lalu. FOTO ihsan POLIS
POLIS menumpaskan satu sindiket pemalsuan pasport dengan penahanan tiga lelaki warga Bangladesh yang dikesan melakukan pemalsuan dokumen itu di sebuah rumah di Taman Ampang Utama di sini, Sabtu lalu. FOTO ihsan POLIS
Raja Noraina Raja Rahim


Ampang: Polis menumpaskan satu sindiket pemalsuan pasport dengan penahanan tiga lelaki warga Bangladesh yang dikesan melakukan pemalsuan dokumen itu di sebuah rumah di Taman Ampang Utama di sini, Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, tiga suspek berusia antara 36 hingga 46 tahun itu ditahan semasa serbuan oleh pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang jam 10.40 malam.

"Hasil serbuan, polis membuat rampasan pelbagai barangan dipercayai untuk tujuan pemalsuan dokumen pasport.

"Antara barang dirampas adalah 13 pasport Bangladesh, pelbagai salinan transaksi wang dan salinan pasport, salinan laporan polis dipercayai palsu, telefon bimbit pelbagai jenama, pencetak serta komputer riba," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, semakan juga mendapati kesemua suspek tidak mempunyai dokumen perjalanan sah.

"Soal siasat awal mendapati mereka tinggal di rumah berkenaan sejak tiga bulan lalu dan sentiasa berpindah-randah," katanya.

Menurutnya, suspek ditahan direman selama 14 hari sehingga 24 April ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 12(1)(a) Akta Pasport 1966.

Katanya, polis kini giat mengesan saki-baki suspek yang masih bebas.

Beliau meminta orang awam mempunyai maklumat mengenai kegiatan kumpulan itu supaya menghubungi balai polis berdekatan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 April 2021 @ 3:04 PM