TANGKAP layar hantaran di Instagram Ahmad Khuzaimi Piee. FOTO ihsan Khuzaimi Piee
TANGKAP layar hantaran di Instagram Ahmad Khuzaimi Piee. FOTO ihsan Khuzaimi Piee
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Kajang: Kejadian pecah rumah membabitkan pemain Selangor FC, Ahmad Khuzaimi Piee dipercayai tiada kaitan dengan statusnya sebagai pemain bola sepak profesional.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, hasil siasatan awal pihaknya percaya dua suspek terbabit menyasarkan kediaman terbabit kerana ketika kejadian premis itu tidak berpenghuni.

"Rumah ini bukan menjadi sasaran sebab pemiliknya pemain bola sepak, ia hanya kebetulan dan tiada kena mengena dengan isu pemain bola sepak.

"Hasil siasatan (saksi) mendapati suspek mengintai beberapa rumah sebelum rumah mangsa dan dapati rumah mangsa tidak berpenghuni sebab itulah dia masuk," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Taman Angkat Amanita Polis Selangor di Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Rakan, di sini hari ini.

Hussein berkata, polis percaya kejadian itu tiada kaitan dengan beberapa kes membabitkan pemain bola sepak kebangsaan sebelum ini.

Katanya, pihak polis masih mengesan dua suspek yang dipercayai terbabit dengan kes pecah rumah berkenaan.

Terdahulu Harian Metro melaporkan kediaman pemain pertahanan Selangor FC itu di Shah Alam dipecah masuk ketika beliau keluar menjalani latihan di Pusat Latihan Selangor.

Menurut laporan polis yang mangsa kongsikan di Instagram, beliau kehilangan sebuah motosikal, empat beg pelbagai jenama dan pasport antarabangsanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Jun 2024 @ 12:44 PM