KEADAAN rumah Khuzaimi yang berselerak selepas dipecah masuk, semalam.
KEADAAN rumah Khuzaimi yang berselerak selepas dipecah masuk, semalam.
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Pemain pertahanan Selangor FC (SFC), Khuzaimi Piee mengambil langkah berjaga-jaga selepas alamat tempat tinggal ahli keluarga terdedah susulan kediamannya dipecah masuk, semalam.

Khuzaimi berkata, kejadian terbabit mencetuskan kebimbangan berikutan beberapa dokumen penting seperti pasport hilang, sekali gus alamat rumah keluarganya di kampung kemungkinan terdedah kepada umum.

Dia yang juga bekas pertahanan Negeri Sembilan FC (NSFC) memaklumkan ketika kejadian rumahnya tidak berpenghuni memandangkan isteri dan anaknya ketika ini menetap di Melaka.

"Saya tinggal seorang saja dekat sini (Shah Alam). Anak dan isteri semuanya berada di Melaka dan Alhamdulillah ketika kejadian tiada orang di rumah.

"Jadi kebimbangan ketika ini adalah pasport dan beberapa dokumen penting menggunakan alamat kampung. Saya bimbang mengenai keselamatan ahli keluarga di kampung," katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan rumah pemain terbabit dipecah masuk ketika beliau keluar menjalani sesi latihan di Pusat Latihan Selangor, semalam.

Menurut laporan polis yang beliau kongsikan di Instagramnya, Khuzaimi kehilangan sebuah motosikal, empat beg pelbagai jenama dan pasport.

Khuzaimi berkata, kehilangan motosikalnya jelas memberi kesan mendalam memandangkan kenderaan yang dibeli pada 2018 itu digunakan ketika dia baru saja membina karier sebagai pemain bola sepak profesional.

"Barang lain yang hilang masih lagi tiada masalah, namun motosikal itu banyak meninggalkan kenangan kepada saya.

"Itulah motosikal saya gunakan cari rezeki untuk anak dan waktu susah sebagai pemain bola sepak. Tapi benda sudah jadi dan saya serahkan kepada polis untuk siasatan lanjut," katanya yang pernah beraksi untuk PKNP FC pada 2018.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Mei 2024 @ 11:20 AM