Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Berdepan ancaman lanun dan perompak ketika bertugas di Sabah sehingga mengorbankan cuti Aidilfitri selain berpuasa serta beraya di atas kapal peronda antara kenangan tidak dapat dilupakan Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Satu Asisten Komisioner Rusley Chi Ari.

Pengalaman itu dilaluinya ketika bertugas sebagai pegawai operasi pada 1986 di Kota Kinabalu.

Katanya, tugasnya sebagai pegawai operasi mengawal perairan negara di mana keselamatan di laut menjadi tanggungjawab PPM.

"Selain menjaga kedaulatan negara, ketika itu juga kami berdepan ancaman perompak dari negara jiran yang menyerang bandar, merompak bank, membunuh dan mencederakan orang awam.

"Beberapa siri serangan berlaku di perairan dan menjadi tanggungjawab penuh PPM menanganinya menyebabkan pasukan sentiasa perlu bertugas tanpa mengira musim perayaan," katanya, baru-baru ini.

Rusley berkata, ketika musim perayaan, kawalan perlu diperketatkan kerana kumpulan perompak mengambil kesempatan untuk mencari dana berikutan mereka tiada sumber pendapatan.

 RUSLEY (dua dari kanan)  bersama anggota PPM di atas kapal peronda. Foto Ihsan PPM
RUSLEY (dua dari kanan) bersama anggota PPM di atas kapal peronda. Foto Ihsan PPM

"Perompak melakukan aktiviti menculik dan merompak. Pada masa itu saya masih bujang dan perlu bertugas sehingga tidak dapat pulang ke kampung.

"Kita masih muda dan sukar terima perubahan apabila musim perayaan tidak dapat bersama keluarga, malah tanggal 1 Syawal tiada langsung suasana berhari raya di sana kerana pada era 1980-an, Sabah boleh dikatakan terasing budaya dengan Semenanjung, tambahan pula bukan semua beragama Islam," katanya.

Katanya, sambutan Aidilfitri di sana tidak istimewa apabila menu sarapan dan makan tengah hari seperti hari biasa.

"Tiada suasana Aidilfitri dan hati sebak dan teringatkan keluarga di kampung.

"Puasa dan masak juadah berbuka serta sahur di atas kapal kerana sebelum berangkat, kami dibekalkan bahan mentah.

"Cuma pengalaman itu amat berharga dan menjadikan kita lebih tabah untuk menjadi pemimpin pada masa akan datang.

"Sekarang saya berusia 58 tahun dan ia menjadikan saya lebih memahami apa dialami pegawai baru terutama yang datang dari Sabah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 April 2024 @ 8:47 AM