Mohamad Fuzi   melakukan pelepasan   petugas   pada pelancaran Op Selamat 13/2018 di Pusat Konvensyen, Menara TM,   semalam.
Mohamad Fuzi melakukan pelepasan petugas pada pelancaran Op Selamat 13/2018 di Pusat Konvensyen, Menara TM, semalam.
HM Digital

Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) semalam melancarkan Op Selamat 13/2018 sempena Aidilfitri yang bermula hari ini sehingga 22 Jun ini.

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, Op Selamat itu adalah usaha pihaknya mencegah jenayah pecah rumah serta meminimumkan kemalangan jalan raya ketika musim perayaan.

Beliau berkata, bagi tujuan itu rondaan pencegahan jenayah di kawasan perumahan akan dipertingkatkan kereta peronda polis dan unit rondaan bermotosikal.

“Pegawai dan anggota terbabit bertindak sebagai elemen utama untuk memantau rumah dan premis yang ditinggalkan ketika cuti perayaan.

“Sehubungan itu, hanya 20 peratus pegawai dan anggota polis dibenarkan bercuti sementara 80 peratus lagi bertugas sempena Aidilfitri,” katanya pada sidang media pelancaran Op Selamat 13/2018 di Pusat Konvensyen, Menara TM, di sini, semalam.

Mohamad Fuzi berkata, lebih 6,000 anggota trafik di seluruh negara bertugas bagi memastikan kelancaran trafik pada musim perayaan.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, orang ramai yang ingin pulang ke kampung halaman diminta memaklumkan mengenai perkara itu di balai polis berhampiran.

“Ada peningkatan positif daripada masyarakat memaklumkan kepada kami bila mereka pulang ke kampung.

“Saya berharap lebih ramai lagi memaklumkan perkara itu kepada balai polis, arahan dikeluarkan kepada semua ketua polis daerah untuk bertindak secara proaktif dalam memastikan keselamatan kediaman ditinggalkan.

“Orang ramai yang ingin berbuat demikian boleh hadir mengisi borang secara manual di balai polis atau menerusi aplikasi online seperti Volunteer Smartphone Patrol (VSP) dan menerusi hotline 999 serta sistem SMS Rakan COP,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Jun 2018 @ 7:01 AM