GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Mohd Fairoz Azizan


ANGKATAN Tentera Malaysia (ATM) akan memperketatkan kawalan di perairan negara sepanjang sambutan Aidilfitri bagi mengelakkan pencerobohan.

Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu berkata, ATM melalui Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) akan bekerjasama dengan agensi penguatkuasan maritim lain bagi mempertahankan kedaulatan perairan negara daripada diceroboh, terutama kemasukan pendatang tanpa izin (PATI).

“Sepanjang musim perayaan ini ramai warga asing yang akan pulang ke negara masing-masing.

“Jadi, kalau mereka keluar melalui jalan yang sah, maka kemasukan mereka juga perlu dengan cara yang sah.

“Setiap hari ada tangkapan di perairan negara. Seperti agensi penguatkuasa lain, kita juga akan memperketatkan kawalan di perairan negara bagi mengekang kemasukan PATI,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melakukan lawatan dan berbuka puasa bersama kira-kira 102 anggota TLDM yang bertugas di atas kapal KD Pahang di perairan Kuantan, hari ini.

MOHAMAD beramah mesra dengan (dari kiri) Mohamad Imran, Zulkifli dan Veteran ATM. FOTO Saifullizan Tamadi
MOHAMAD beramah mesra dengan (dari kiri) Mohamad Imran, Zulkifli dan Veteran ATM. FOTO Saifullizan Tamadi

Turut hadir Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Panglima Zulkifli Zainal Abidin, Presiden Persatuan Veteran TLDM, Senator Laksamana Pertama Mohamad Imran Abd Hamid dan Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM, Mejar Jeneral Datuk Dzulkarnaian Ahmad.

Menyentuh mengenai aset ketenteraan, Mohamad mengakui masih banyak berkurangan dan perlu dipertingkatkan dari masa ke semasa.

“Cuma, kalau ada peruntukan untuk (perolehan) aset baharu, kita akan memperkemaskan dari masa ke semasa.

“Kita sebuah negara maritim luas sehingga ke perairan Sabah dan Sarawak, jadi tugas anggota pasukan kita sangat luas dan menjadi keperluan (penambahan aset),” katanya.

Pada majlis sama, Mohamad turut menyerahkan bungkusan Hari Raya kepada anggota TLDM yang bertugas pada Aidilfitri menerusi evolusi pemindahan tali balingan (kapal ke kapal) kepada KD Pendekar dan KD Laksamana.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Mei 2019 @ 10:36 PM