Siti Rohana Idris


Tumpat: Pergerakan penyeludup yang menjalankan kegiatannya menjelang waktu berbuka puasa hingga sahur sudah menjadi 'trend' setiap kali menjelang Ramadan.

Mungkin menyangkakan pihak berkuasa 'tidur', penyeludup dengan nekad membawa masuk atau keluar barang seludup terutama barangan kontraban walaupun berdepan risiko disebabkan sempadan negara masih belum dibuka, sekali gus tidak dibenarkan pergerakan rentas sempadan.

Pegawai Pemerintah Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga Pengkalan Kubor, Asisten Superintendan Mohd Rudzuan Ahmad berkata, menyedari taktik sebegitu sering berlaku, pihaknya mempergiatkan rondaan dan kawalan sama ada di sepanjang Sungai Golok atau darat bagi mengekang aktiviti terbabit.

"Sepanjang tempoh tiga bulan bermula Januari hingga Mac tahun ini, sebanyak 92 kes dicatatkan dengan nilai rampasan RM1.8 juta berbanding tahun lalu iaitu 98 kes dengan nilai RM800,000.

"Kebanyakan rampasan dibuat membabitkan barangan kontraban yang disiasat mengikut Seksyen Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Kawalan Padi dan Beras Negara 1994," katanya kepada pemberita di jeti PPM Wilayah Tiga, Pengkalan Kubor, di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau membuat rondaan dengan bot ronda di Sungai Golok bermula dari Pengkalan Kubor hingga ke Kuala Jambu dengan diiringi Polis Marin Diraja Thai.

ANGGOTA PPM Wilayah Tiga Pengkalan Kubor melakukan rondaan bersama Polis Marin Diraja Thailand di sepanjang Sungai Golok atau darat bagi mengekang aktiviti penyeludupan. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
ANGGOTA PPM Wilayah Tiga Pengkalan Kubor melakukan rondaan bersama Polis Marin Diraja Thailand di sepanjang Sungai Golok atau darat bagi mengekang aktiviti penyeludupan. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR

Beliau berkata, bagi mempergiatkan penugasan menjelang Aidilfitri, pihaknya akan mengadakan Op Benteng Khas Musim Perayaan bermula 1 hingga 20 Mei nanti.

"Operasi itu akan membabitkan dua pegawai dan 30 anggota PPM dengan menggunakan lima bot membuat rondaan di sekitar perairan Sungai Golok yang bermula dari Pengkalan Kubor hingga ke Kubang Pak Hitam, Pasir Mas.

"Kami ada Unit Risikan Marin (URM) dan bantuan daripada pasukan Op Landai yang akan bertugas 24 jam untuk mengekang aktiviti penyeludupan serta jenayah rentas sempadan," katanya.

Dalam perkembangan sama, Mohd Rudzuan berkata, setakat ini pihaknya belum memperoleh sebarang rampasan mercun yang sinonim dengan musim perayaan.

Beliau berkata, ia berikutan sempadan negara dikawal ketat pihak berkuasa daripada dua negara dan kerajaan Thailand sendiri mengharamkan penjualan mercun disebabkan faktor keselamatan.

"Bagaimanapun kami akan sentiasa berwaspada dan memperhebatkan risikan kerana mungkin akan ada penyeludup yang sanggup mengambil risiko menyeludup barang larangan itu.

"Berdasarkan rampasan sebelum ini, bekalan mercun dari negara jiran dibuat beberapa minggu sebelum perayaan dan akan disimpan di satu lokasi sebelum dijual," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 April 2021 @ 3:27 PM