GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Oleh Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Dianggarkan kira-kira 25 peratus pasangan bawah usia 30 tahun daripada purata 500 hingga 600 pasangan Malaysia bernikah di negara jiran dalam tempoh setahun.

Wanita dikenali sebagai Kak Wan yang menawarkan khidmat urusan pernikahan sah di Thailand sejak lebih 10 tahun lalu berkata, pihaknya menerima pelbagai peringkat usia pasangan yang berhasrat bernikah termasuk sebilangan kecil kumpulan usia bawah 30 tahun.

"Soal usia itu subjektif. Kalau nak kata sekarang ini tengah trend orang muda atau remaja bernikah di Thailand, saya rasa tidak betul.

"Ini kerana rekod kami sendiri dalam setahun dalam 500 hingga 600 pasangan, cuma ada 25 peratus saja pelanggan peringkat usia 25 hingga 30 tahun.

"Dulu sebelum pandemik Covid-19, pernahlah ada pasangan berusia 19 hingga 20 tahun kami uruskan, itu pun kes jarang jumpa dan tidak banyak," katanya.

Mengulas lanjut, Kak Wan berkata, kebanyakan pasangan berusia 25 hingga 30 tahun yang mendapatkan khidmatnya mempunyai alasan tersendiri apabila memilih bernikah di Thailand.

"Banyak faktor mengapa pilih bernikah di Thailand tidak semestinya poligami kerana kadang-kadang peringkat usia macam ini bernikah cuma hendak halalkan hubungan mereka saja dulu.

"Kebanyakan pelanggan kami ada masalah sukar mendapatkan sijil pernikahan ibu bapa yang mungkin sudah lama hilang kerana itu antara syarat perkahwinan di Malaysia.

"Ada juga disebabkan pasangan itu berstatus anak tidak sah taraf serta masalah kewangan kerana hendak kahwin sekarang memerlukan belanja besar," katanya.

Katanya, kos bernikah di negara jiran lazimnya mencecah RM2,300 hingga RM2,500 mengikut pakej bermula urusan pernikahan sehingga pengesahan pernikahan daripada Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla dan pihak berkuasa agama negeri masing-masing.

"Kos bernikah di Thailand memang tinggi sebab itu kalau hendak cakap golongan muda atau masih belajar agak susah sikit mereka bernikah di Thailand.

"Selain itu, pasangan Malaysia yang bernikah di Thailand perlu mendapatkan tiga pengesahan yang semua proses ini akan dibimbing ejen sehingga pernikahan mereka di Thailand sah di sisi undang-undang negara kita.

"Justeru, adalah penting pasangan yang ingin bernikah di negara jiran menggunakan khidmat ejen bertauliah serta tidak tertarik dengan tawaran sindiket pakej nikah murah di bawah RM2,000 terutama RM1,300 hingga RM1,800 bagi mengelak masalah pada kemudian hari," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Februari 2024 @ 7:20 AM