Kuantan: Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) akan mengadakan program pemutihan perkahwinan bagi orang Islam di negeri ini yang berkahwin di selatan Thailand selama tiga bulan mulai 2 November depan.

Menerusi inisiatif itu, pihak berkuasa agama itu akan membantu individu yang melanggar Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Pahang 2005 mendaftarkan perkahwinan mereka.

Ia juga membabitkan, pasangan ‘nikah lari’ kerana tidak mendapat restu keluarga atau mahu berpoligami dan pernikahan mempunyai unsur meragukan kerana menggunakan sindiket.

Sepanjang tempoh berkenaan, MUIP akan membantu pasangan terbabit mengesah, mendaftar dan memperbetulkan pernikahan mereka dan pada masa sama mereka tidak dikenakan tindakan undang-undang.

Timbalan Yang Dipertua MUIP Datuk Seri Wan Abdul Wahid Wan Hassan berkata, pihaknya mengambil keputusan itu susulan peningkatan kes penduduk negeri ini yang bernikah di selatan Thailand.

Beliau berkata, sepanjang 10 bulan pertama tahun ini, pihak berkuasa agama negeri menerima 210 kes orang Islam negeri ini yang bernikah di beberapa wilayah di negara jiran yang mahu mendaftarkan pernikahan mereka.

Katanya, ia berbanding 207 kes dan 175 kes sama masing-masing, pada tahun 2014 dan 2013.

“Kita akan membantu supaya pernikahan ini didaftarkan. Jika (pasangan tidak bernikah dengan betul), kita perbetulkan dengan akad nikah sekali lagi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Oktober 2015 @ 10:07 AM