ABDULLAH (kiri) menceritakan pengalamannya bantu pasangan bernikah di negara jiran.
ABDULLAH (kiri) menceritakan pengalamannya bantu pasangan bernikah di negara jiran.
Nazdy Harun


Kuala Berang: Dia bukanlah ejen nikah, namun mendakwa membawa 49 pasangan bernikah di Thailand sejak 33 tahun lalu.

Abdullah (bukan nama sebenar), 60, berkata, dia tidak pernah mengambil upah membawa mana-mana pasangan melangsungkan perkahwinan di negara jiran itu.

“Daripada melakukan maksiat atau terjebak dalam sindiket perkahwinan tidak sah, lebih baik saya bantu membawa mereka kepada saluran betul walaupun berkahwin di negara jiran.

“Saya juga tak kenakan upah, tetapi mereka dengan sukarela menghadiahkan wang sebagai tanda terima kasih,” katanya ketika ditemui di sini, baru-baru ini.

Menurutnya, setakat ini, pasangan yang dibantunya tidak berdepan masalah termasuk ketika ingin mendaftarkan perkahwinan di negara ini selepas dinikahkan di Thailand.

“Kebanyakan yang saya bantu mereka yang ingin berpoligami dan hanya empat pasangan yang baru hendak berkahwin namun mendapat tentangan keluarga disebabkan pasangan mereka bukan penduduk tempatan.

“Biasanya saya bawa ke pejabat agama di wilayah Narathiwat untuk berkahwin secara sah oleh kadi yang diiktiraf kerajaan negara ini,” katanya yang mempunyai dua isteri yang kedua-duanya dinikahi di negara ini.

Abdullah berkata, bukan niatnya menggalakkan pasangan berkahwin di negara jiran namun melihat masalah yang dihadapi terutama yang ingin berpoligami mendorongnya untuk memudahkan jalan bagi mereka.

“Biasanya lelaki yang ingin berpoligami pasti mendapat tentangan isteri pertama, sebab itu mereka pilih berkahwin di negara jiran.

“Untuk mengelak berlakunya maksiat, lebih baik mereka berkahwin dan ada lelaki yang pernah membawa pasangan perempuan bersama walinya sekali ke sana untuk bernikah.

“Bagi saya, lebih baik bantu mereka nikah daripada berlaku maksiat hingga lahir anak luar nikah,” katanya.

Menurut Abdullah, dia menjadi saksi untuk semua 49 pasangan yang dibawa bernikah itu.

“Saya juga dipanggil sebagai saksi apabila mereka hendak daftarkan perkahwinan di negara ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 January 2018 @ 11:13 AM