Ahmad Fahmi menyampaikan ucaptama sempena sambutan Hari Melayu di Yala, Thailand pada Jumaat. FOTO AIZAT SHARIF
Ahmad Fahmi menyampaikan ucaptama sempena sambutan Hari Melayu di Yala, Thailand pada Jumaat. FOTO AIZAT SHARIF
Aizat Sharif


Yala, Thailand: Setiap bulan terdapat 250 hingga 300 pasangan dari Malaysia yang hadir ke Pejabat Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla, Thailand untuk mengesahkan dokumen pernikahan yang dilangsungkan di lima wilayah negara itu.

Perkara itu didedahkan oleh Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla, Ahmad Fahmi Ahmad Sarkawi, Jumaat lalu.

Menurutnya, purata anggaran itu membabitkan pernikahan dilangsungkan di Narathiwat, Yala, Pattani, Songkhla dan Satun manakala pasangan yang bernikah di Bangkok pula, boleh ke Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok untuk tujuan yang sama.

"Namun saya tidak ada pecahan khusus bagi setiap demografik usia pasangan ini atau tujuan mereka sama ada untuk poligami disebabkan tentangan keluarga atau isteri pertama atau 'kahwin lari.

"Memadai untuk saya kata secara rationya adalah antara 60:40 dimana 60 itu lebih kepada tujuan poligami manakala bakinya adalah membabitkan tentangan keluarga, isteri pertama dan ada juga yang disebabkan bernikah dengan warga Thailand.

"Dalam isu pasangan muda dan golongan ternama (VIP) di Malaysia termasuk yang bergelar 'Datuk' bernikah di Thailand, kita tidak sesekali terbabit tapi tugas kita adalah untuk memastikan dan 'endorse' (menyokong) dokumen pernikahan yang ditampilkan oleh setiap pasangan yang hadir ke pejabat adalah sah dan pasangan berkenaan sudah pun dinikahkan," katanya ketika ditemui selepas menghadiri sambutan Hari Melayu atau 'Malay Day' di Sanam Chang Phueak Park, Yala, di sini kelmarin.

Ahmad Fahmi berkata, pasangan Malaysia yang sudah menjalankan pernikahan mereka di negara ini perlu datang ke Pejabat Konsulat Jeneral Malaysia untuk pengesahan dokumen pernikahan.

"Melalui pengesahan daripada pihak kami sahaja baharulah pernikahan itu boleh didaftarkan di Selatan Thailand sebelum melakukan pendaftaran kedua semula di Malaysia.

"Pengesahan ini adalah penting kerana kita perlu memastikan bahawa dokumen yang ditampilkan adalah sah dan selain mengelakkan cubaan penipuan daripada sindiket (pengatur) pernikahan di mana sebagai contoh terdapat kes seperti ada sindiket yang mendakwa menguruskan pasangan yang dikatakan bernikah di Thailand namun apabila diteliti sebenarnya pasangan berkenaan belum lagi bernikah dan tidak hadir pun ke negara ini untuk bernikah serta masih berada di Malaysia.

"Sudah tentulah pernikahan itu perlu didaftarkan semula di Malaysia dan ia juga akan membabitkan denda tetapi tidak dinafikan ramai pasangan yang hadir ke pejabat kami mengemukakan dokumen pernikahan mereka di negara ini untuk didaftarkan," katanya.

Beliau berkata, pendaftaran pernikahan itu adalah penting kerana tidak mahu berlaku pelbagai masalah yang berbangkit di kemudian hari seperti kewujudan anak tanpa negara serta pewarisan harta.

"Pendaftaran penting kerana tak mahu timbul masalah termasuklah ada anak yang tidak berwarganegara (stateless) atau pewarisan harta.

"Ramai yang berkahwin di Selatan Thailand ini tidak mendaftarkan pernikahan mereka di Malaysia jadi apabila anak mereka besar nanti dan mahu bernikah akan timbul masalah dalam mencari wali," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Februari 2024 @ 1:03 PM