ANGGOTA bomba menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kemalangan di Jalan Kuantan-Segamat. FOTO ihsan Bomba
ANGGOTA bomba menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kemalangan di Jalan Kuantan-Segamat. FOTO ihsan Bomba
Asrol Awang


KUANTAN: Tiga maut, termasuk dua warga emas dalam kemalangan tiga kenderaan di Kilometer 65 Jalan Kuantan-Segamat, Pekan, hari ini.

Mangsa, Ayub Zakaria, 66, Podziah Daharun, 65, dan Muhammad Azrin Ahmad Nazri, 19, meninggal dunia di tempat kejadian.

Sembilan lagi mangsa cedera dan menerima rawatan di Hospital Pekan.

Ketua Polis Daerah Pekan, Superintenden Mohd Zaidi Mat Zin, berkata berdasarkan laporan, kemalangan berlaku 11.20 pagi.

Katanya, kemalangan itu membabitkan tiga kenderaan iaitu Perodua Alza, Perodua Myvi dan Toyota Vios.

"Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila Alza dalam perjalanan dari arah Segamat menghala ke Kuantan.

"Apabila sampai di tempat kejadian, pemandu Alza dipercayai hilang kawalan lalu terbabas masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan Myvi.

"Myvi itu kemudiannya dilanggar pada bahagian kanan oleh Vios yang datang dari arah Segamat," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, siasatan mendapati tiga individu menaiki Alza manakala Myvi dinaiki lima individu dan Vios pula empat individu.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, 13 pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Chini dan Pekan dikejarkan ke lokasi kemalangan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Julai 2023 @ 4:54 PM