SEORANG kerani terbunuh selepas kenderaan dinaiki merempuh sebatang pokok di Jalan Kuantan-Segamat.
SEORANG kerani terbunuh selepas kenderaan dinaiki merempuh sebatang pokok di Jalan Kuantan-Segamat.
Shahrul Nizam Mohamad

Rompin: Seorang kerani terbunuh selepas kereta Perodua Viva dinaiki bersama enam individu lain terbabas dan merempuh sebatang pokok di Kilometer 107, Jalan Kuantan-Segamat, berhampiran Ladang Darateh, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 2.50 petang, mangsa penumpang hadapan, Norashimah Mihat, 35, berasal dari Kampung Rekoh Baru, Loji Air Sungai Keratong, Muadzam Shah, di sini, maut di tempat kejadian akibat patah leher.

Ketua Polis Daerah Deputi Superintendan Azly Mohd Noor berkata, pemandu kenderaan itu yang juga pengawal keselamatan, Irfan Fahmi Ideham, 19, berasal dari FELDA Keratong 4, Bandar Tun Razak, Muadzam Shah cedera di muka.

“Penumpang belakang, Normala Mohamed, 34, berasal dari FELDA Keratong 1, patah paha kiri dan luka di muka,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Beliau berkata, dua penumpang belakang, Nur Nazatul Isma Ahmad Faizal, 10, Muhammad Fakrul Hakimi Imrol, 12, hanya cedera ringan manakala dua lagi mangsa tidak cedera.

Katanya, siasatan awal mendapati, semua mangsa mempunyai hubungan saudara dalam perjalanan menghala ke Muadzam Shah dari Kuantan.

Menurutnya, sebaik tiba di tempat kejadian, Irfan Fahmi yang dipercayai tidak mempunyai lesen memandu terbabas ke kiri jalan dan melanggar sebatang pokok.

Katanya, ketika kejadian keadaan cuaca hujan dan permukaan jalan rata.

Azly berkata, semua mangsa cedera dikejarkan ke Hospital Rompin dengan bantuan orang awam untuk mendapatkan rawatan.

Katanya, polis masih meneruskan siasatan berhubung kejadian itu mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu dalam kemalangan berasingan, seorang pengawal keselamatan maut selepas terjatuh daripada motosikal Demak Evo Z ditunggang sebelum digilis sebuah kenderaan di Kilometer 118.4 Jalan Kuantan-Johor Bahru, dekat Leban Condong, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 7.30 malam itu, mangsa, Nor Asyidah Hadran, 27, berasal dari Kampung Leban Condong, di sini, meninggal dunia akibat cedera di kepala, patah tangan dan paha.

Azly berkata, mangsa yang bertugas di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Rompin dalam perjalanan menghala ke Johor Bahru dari Kuantan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Disember 2017 @ 5:57 AM